PETALING JAYA: Tiada lagi peluang ketiga buat mana-mana pasukan yang gagal memenuhi syarat pelesenan kelab selepas tempoh permohonan Lesen Kebangsaan ditutup secara rasmi pada Sabtu lalu.
Pengerusi First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif menjelaskan, Unit Pelesenan Kelab Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kini sedang menjalankan proses penelitian dan semakan ke atas dokumen yang diterima daripada semua pemohon.
Katanya, sebanyak 387 dokumen dan entri diterima daripada 15 pasukan yang telah membuat permohonan bagi mendapatkan Lesen Kebangsaan musim 2025/2026.
Katanya, Dua kelab dari Liga A1 Semi-Pro, Melaka FC dan Imigresen FC serta 13 pasukan Liga Super telah melengkapkan proses permohonan masing-masing pada tarikh tutup permohonan yang berakhir Sabtu lalu.
“Semua kelab Liga Super bersama dua kelab Liga A1 Semi-Pro, iaitu Melaka FC dan Imigresen FC, telah memuat naik dokumen permohonan Lesen Kebangsaan 2025/2026 mereka ke dalam Sistem Pelesenan Kelab AFC (CLAS) sebelum tarikh akhir.
“Sebanyak 387 dokumen dan entri berkaitan kriteria utama seperti aspek kewangan, perniagaan, pentadbiran dan sumber manusia, perundangan, teknikal, serta infrastruktur sedang diteliti secara menyeluruh oleh unit berkenaan,” jelasnya.
Apabila segala proses berkenaan selesai, FIB akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung keputusan permohonan Lesen Kebangsaan 2025/2026 memandangkan tiada lagi tempoh lanjutan akan diberikan kepada mana-mana pasukan.
Tambah beliau, laporan lengkap hasil semakan itu akan dikemukakan kepada FIB bagi penilaian seterusnya.
“Mesyuarat FIB akan diadakan dalam masa terdekat untuk membuat keputusan akhir berhubung permohonan Lesen Kebangsaan tersebut.
“Keputusan rasmi akan diumumkan sebaik sahaja semua proses penilaian selesai,” ujar Sheikh Mohd Nasir.-UTUSAN