Takumi janji tampil lebih ‘garang’

Sukan

PETALING JAYA: Pemain tengah Negeri Sembilan FC, Takumi Sasaki memasang impian untuk lebih menonjol pada musim kedua di Liga Malaysia selepas berjaya mencuri tumpuan pada penampilan pertamanya pada musim 2024-2025.

Kelincahan dan kesungguhannya setiap kali diturunkan membuat Skuad Jang menawarkan kontrak baharu kepada pemain berusia 27 tahun itu untuk terus kekal bersama dengan Negeri Sembilan musim depan.

“Saya datang ke sini untuk cari pengalaman baru. Ini kali pertama saya bermain di luar negara, tapi ia memang tahun yang hebat apabila dapat kenal budaya dan orang Malaysia yang sangat baik.

“Sekarang saya dah biasa dengan bola sepak Malaysia, saya rasa musim kedua ini saya boleh tunjukkan 100 peratus kemampuan saya.

“Dalam bola sepak, saya sentiasa fikir untuk pasukan. Saya rasa saya dah tunjuk yang saya pemain yang tak mudah mengalah walaupun dalam musim yang susah, dan akan terus berjuang untuk pasukan sampai akhir,” katanya.

Dalam masa sama, pemain berusia 25 tahun itu juga berterima kasih kepada penyokong yang tetap ada di belakang pasukan dan mengharapkan semangat yang sama dapat diberikan buat mereka pada musim hadapan.

“Apatah lagi penyokong Negeri Sembilan memang hebat sebab apabila musim lepas kita bergelut, mereka tetap sokong sampai habis. Bukan sahaja Negeri Sembilan, tapi semangat penyokong JDT, Selangor, Terengganu dan lain-lain juga hebat.

“Sekarang liga dah habis, saya balik ke Tokyo untuk bercuti dan saya ada jumpa juga pemain dari kelab Jepun, sembang pasal bola, tengok perlawanan dan belajar dari mereka,” jelasnya.- UTUSAN