Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 4.5% hingga 5% pada suku pertama

Perniagaan

PETALING JAYA: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka tumbuh sekitar 4.5 peratus hingga lima peratus pada suku pertama, dipacu oleh lonjakan prestasi eksport serta lebihan dagangan tertinggi yang pernah direkodkan bagi tempoh suku pertama dalam sejarah negara.

Data rasmi KDNK suku pertama 2025 dijadualkan diumumkan pada Jumaat ini.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, prestasi memberangsangkan itu berkemungkinan besar disumbang oleh pesanan awal daripada pengimport asing.

Katanya, ini sebagai persediaan menghadapi kesan tarif perdagangan yang dijangka dilaksanakan oleh pentadbiran Amerika Syarikat (AS) di bawah Presiden Donald Trump.

“Jumlah perdagangan Malaysia bagi suku pertama 2025 meningkat sebanyak 3.6 peratus tahun ke tahun kepada RM715.73 bilion, dengan eksport berkembang 4.4 peratus kepada RM378.36 bilion dan import naik 2.8 peratus kepada RM337.37 bilion.

“Lebihan dagangan pula melonjak 20.1 peratus kepada RM41 bilion. Angka tertinggi yang pernah dicatatkan untuk suku pertama,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, data perdagangan yang kukuh itu memperlihatkan momentum ekonomi negara berada di landasan yang positif walaupun berdepan ketidaktentuan global.

Ujarnya, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras tiga peratus, selaras dengan data semasa yang menunjukkan ekonomi domestik kekal berdaya tahan.

“Namun, dasar monetari negara perlu kekal fleksibel dan berpandukan kepada analisis data yang teliti berikutan ketidaktentuan akibat rundingan perdagangan AS yang masih berlangsung.

“Penangguhan pelaksanaan tarif 24 peratus terhadap barangan Malaysia oleh AS masih dalam peringkat rundingan dan keputusan muktamad dijangka diketahui dalam tempoh kurang daripada 60 hari,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid mengunjurkan ekonomi negara tumbuh sekitar 4.5 peratus pada suku pertama, didorong oleh pertumbuhan pesat sektor eksport pada Mac, susulan tindakan pengimport yang mempercepatkan pesanan bagi mengelakkan tarif.

Menurutnya, permintaan domestik juga masih baik dengan kadar pengangguran yang rendah serta aktiviti penggunaan dan pelaburan yang masih aktif.

“Bagaimanapun, terdapat kemungkinan unjuran KDNK akan disemak semula ke bawah mengambil kira perkembangan semasa. Malah, institusi global seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga telah menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi dunia.

“Memandangkan Malaysia merupakan sebuah ekonomi yang terbuka dari segi perdagangan antarabangsa dan pelaburan asing, ketegangan berkaitan tarif ini berpotensi memberi kesan negatif kepada ekonomi negara,” jelasnya.

Bulan lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menjangkakan KDNK Malaysia berkembang 4.4 peratus pada suku pertama 2025, mereda daripada pengembangan sebelum ini. – UTUSAN