Hamilton boleh hilang kepercayaan

Sukan

LONDON: Juara dunia Formula Satu (F1) 1997, Jacques Villeneuve memberi amaran kepada Lewis Hamilton bahawa dia berisiko kehilangan kredibilitinya di Ferrari susulan permulaan musim yang sukar.

Permulaan musim 2025 F1 untuk Hamilton bersama Ferrari tidak berjalan seperti yang dirancang.

Ini kerana Ferrari hanya berjaya meraih satu podium dalam enam perlumbaan pertama dan kini ketinggalan lebih 150 mata di belakang McLaren dalam kejuaraan pengeluar.

Secara keseluruhan, Hamilton dilihat kurang menyerlah berbanding rakan sepasukan, Charles Leclerc.

Namun, juara dunia tujuh kali itu telah menunjukkan detik-detik cemerlang, terutamanya dalam perlumbaan pecut.

Hamilton memenangi perlumbaan pecut di Grand Prix (GP) China dan menamatkan perlumbaan pecut di GP Miami di tempat ketiga hasil strategi yang bijak.

Bagaimanapun, perlumbaan di Arab Saudi menjadi titik terendah setakat ini buat Hamilton sehingga dia mengakui bahawa musim ini berkemungkinan besar akan menjadi musim yang menyakitkan.

Villeneuve percaya pendekatan Hamilton yang secara terbuka kelihatan murung boleh menyebabkan Ferrari hilang kepercayaan terhadapnya.

“Anda boleh dengar bahawa Lewis Hamilton jelas tidak gembira. Charles Leclerc semakin menyerlah dan anda boleh dengar dalam komen-komen Lewis, ‘Saya minta maaf’. Ia sama seperti Norris, apabila anda mula bercakap begitu, anda sudah ‘hangus’.

“Anda hilang kredibiliti anda dan orang hilang kepercayaan terhadap anda. Mereka fikir dia berada di situ hanya untuk sekadar mengisi tempat.

“Itu bukan imej yang sesuai untuk ditunjukkan kepada pasukan seperti Ferrari, yang sangat mudah berubah hati. Ferrari ibarat gunung berapi. Anda perlukan letusan. Anda perlukan semangat, percikan untuk mencetuskan api. Jika tiada percikan, itu masalah besar di Ferrari.

“Di Mercedes, dia diberi masa tapi bukan di Ferrari. Anda perlu berada di puncak, dan boom. Perlumbaan pecut di China nampaknya memberikan percikan itu tapi tiada api yang menyusul selepas itu. Tiada ‘rumput kering’ di sekeliling untuk menyambar api!,” katanya. – AGENSI