PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tidak bersetuju dengan naratif dibawa Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli kononnya kalahnya Nurul Izzah Anwar dalam pemilihan nanti seperti penolakan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Dalam Negeri itu malah menyanggah kenyataan dibuat Rafizi itu kerana wujudnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri adalah disebabkan insiden yang berlaku ke atas ‘batang tubuh’ Anwar pada September 1998.
Menurutnya, beliau percaya 29,000 anggota parti yang akan mengundi dalam pemilhan parti pada 24 Mei ini sedang meneliti naratif itu sebelum membuat apa-apa keputusan.
“Saya tak melihat begitu (jika Nurul Izzah kalah berlaku penolakan kepada Anwar). Wujudnya parti (PKR) ini disebabkan insiden yang berlaku ke atas tubuh badan dia (Anwar).
“Dalam tempoh itu, dia (Anwar) sudah 11 tahun masuk penjara dan kalau soal ditohmah, dimaki hamun dan diaib ini, tiada manusia yang telah melalui perkara itu,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini, hari ini.
Berhubung gesaan Rafizi supaya anggota parti memilih Nuzul Izzah sebagai Timbalan Presiden PKR pada pemilihan nanti, Saifuddin berkata, beliau menyifatkan gesaan itu sebagai sesuatu yang ‘unik’.
“Saya ikuti ucapan tersebut dan saya rasa Rafizi memberikan asasnya di mana dia masuk (bertanding Timbalan Presiden) betul tapi pada masa yang sama dia mengajak.
“Itu uniknya dalam Keadilan (PKR) ini, saya lawan kamu saya ajak perwakilan sokong kamu. Bukan sokong
saya itu unik lah. Mana pernah berlaku dalam mana-mana parti politik lain tapi dalam Keadilan sahaja,” katanya
Sebelum ini, Rafizi dalam siri ceramahnya di Kulim, Kedah semalam mengajak perwakilan PKR supaya memenangkan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden PKR.
Menurutnya, jika Nurul Izzah tewas dalam pemilihan itu ia boleh mencetuskan naratif atau polemik bahawa anggota parti menolak kepimpinan Anwar. – UTUSAN