Aaron-Wooi Yik dinobat Olahragawan Kebangsaan 2024

Sukan

SUBANG JAYA: Pemain beregu badminton lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengukir nama pada Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024 selepas dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan, sebentar tadi.

Pasangan beregu lelaki negara itu mengetepikan empat pencabar lain termasuk perseorangan lelaki Lee Zii Jia, Wong Weng Soon (wushu), Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat) dan Abdul Latif Maxzakir (pencak silat)

Faktor kemenangan gandingan No. 5 dunia itu adalah meraih pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 pada Ogos sekali gus membolehkan mereka bergelar Olahragawan Kebangsaan.

Selain pingat gangsa berkenaan, Aaron-Wooi Yik turut bergelar juara pada Kejohanan Badminton Korea Masters serta menjadi naib juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) selain mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC).

ASN 2024 ini disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang berkenan berangkat ke anugerah berkenaan,

Biarpun bergelar Olahragawan Kebangsaan 2024, Aaron-Wooi Yik tidak dapat hadir ke majlis berprestij itu kerana sedang bertarung pada Kejohanan Badminton Terbuka Thailand di Bangkok yang sedang berlangsung, minggu ini.

Untuk rekod, ini merupakan anugerah kedua buat beregu lelaki negara itu selepas turut dinobatkan pada edisi 2022 selepas muncul juara dunia pada tahun tersebut.

Dalam pada itu, jaguh powerlifting para negara, Bonnie Bunyau Gustin terus membuktikan keunggulannya apabila dinobatkan sebagai Olahragawan Paralimpik Kebangsaan 2024 hasil aksi cemerlang di Sukan Paralimpik Paris.

Atlet kelahiran Serian, Sarawak itu bukan sahaja mempertahankan pingat emas dalam kategori 72 kilogram (kg), malah turut mencipta rekod dunia baharu menerusi angkatan 232kg, memadam rekod lama miliknya iaitu 231kg.

Kejayaan luar biasa itu membolehkan Bonnie mengetepikan empat pencabar hebat seperti Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru para), Datuk Abdul Latif Romly (lompat tinggi para), Eddy Bernard (balapan para) serta juara para badminton, Cheah Liek Hou untuk anugerah tertinggi tersebut.

Sebagai penerima anugerah Olahragawan Paralimpik bersama gandingan badminton negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik selaku Olahragawan Kebangsaan, beliau menerima piala, piala iringan, sijil penghargaan dan wang tunai sebanyak RM20,000. – UTUSAN