Bagnaia tuntut penjelasan daripada pasukan

Sukan

LE MANS: Pelumba Ducati, Francesco Bagnaia menuntut penjelasan daripada pasukannya apabila memberitahu jenteranya tidak memberi sebarang tindak balas selepas mengharungi Grand Prix (GP) Perancis yang mengecewakan.

Juara dunia dua kali itu bergelut sejak permulaan musim ini namun hujung minggu lalu di Perancis merupakan hari terburuk buat dirinya sejak perlumbaan pecut diperkenalkan.

Bagnaia terjatuh dalam perlumbaan pecut dan kemudian terkeluar dari perlumbaan utama selepas dilanggar oleh pelumba Tech 3, Enea Bastianini, menyebabkan dia tidak mengutip sebarang mata dan kini ketinggalan 51 mata di belakang rakan sepasukannya, Marc Marquez dalam kejuaraan.

Pelumba dari Itali itu telah mengakui bahawa dia tidak dapat merasakan cengkaman hadapan yang diperlukan pada jenteranya dan dia perlu menyesuaikan diri dengannya.

Namun begitu, dia menggesa Ducati untuk melakukan lebih banyak usaha membantunya kerana dia telah menyentuh perkara utama yang dihadapinya.

“Ini sesuatu yang pasukan saya perlu jelaskan kepada saya, mereka perlu memberikan saya sesuatu yang lebih baik. Saya tahu mereka sedang mencuba segala-galanya untuk membantu saya, tetapi selepas enam hujung minggu perlumbaan kami masih belum menemui penyelesaian.

“Buat masa ini perasaan saya sangat buruk di atas motosikal kerana saya tidak dapat merasakan apa-apa, saya tidak mendapat sebarang tindak balas daripada motosikal.

“Saya boleh mencatatkan pusingan terpantas atau menunggang empat saat lebih perlahan, motosikal saya memberikan tindak balas yang sama. Jadi, dalam keadaan begini memang sangat sukar. Ia sama sejak perlumbaan di Thailand,” katanya. – AGENSI