STR, bantuan khas perayaan dorong peningkatan jualan RM154 bilion

Perniagaan

PETALING JAYA: Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mendorong peningkatan jualan perdagangan borong dan runcit sebanyak 5.7 peratus kepada RM 154 bilion sepanjang musim perayaan Aidilfitri lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan jualan pada Mac didorong terutamanya oleh subsektor perdagangan runcit dan perdagangan borong.

“Perdagangan runcit mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM67.0 bilion, peningkatan RM4.2 bilion dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 6.6 peratus manakala perdagangan borong pula mencatatkan jumlah jualan RM67.8 bilion, meningkat RM3.7 bilion dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 5.7 peratus.

“Sementara itu, subsektor kenderaan bermotor merekodkan jualan berjumlah RM19.2 bilion, peningkatan RM0.4 bilion atau 2.3 peratus tahun ke tahun,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, pertumbuhan tersebut didorong oleh prestasi jualan yang memberangsangkan dalam pelbagai kumpulan, berikutan persiapan musim perayaan dan peningkatan perbelanjaan sepanjang bulan Ramadan.

“Pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri serta agihan RM1.7 bilion melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) telah menggalakkan aktiviti pengguna.

“Pemberian ini menyumbang kepada kenaikan jumlah pengunjung di pasar raya, pusat beli-belah dan premis runcit yang lain.

“Jualan runcit di kedai bukan pengkhususan meningkat 6.5 peratus kepada RM25.8 bilion, manakala Jualan runcit di kedai pengkhususan meningkat 7.3 peratus kepada RM14.2 bilion disumbangkan oleh peningkatan jualan dalam beberapa industri,” katanya.

Menurut Mohd. Uzir, ini termasuk jualan runcit pakaian, artikel bagi bulu binatang dan aksesori pakaian, jualan runcit di kedai khusus yang menjual barang farmaseutikal, perubatan dan ortopedik, jualan runcit di kedai khusus yang menjual pewangi, kosmetik dan kelengkapan dandanan diri serta jualan runcit barang kemas.

“Jualan runcit barangan isi rumah meningkat 5.8 peratus kepada RM 7.6 bilion, manakala Jualan runcit bahan api kenderaan melonjak 7.9 peratus kepada RM 6.2 bilion, didorong oleh perjalanan merentas negeri sempena bulan ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Jualan runcit makanan, minuman dan tembakau di kedai khusus turut meningkat sebanyak 8.1 peratus kepada RM4.3 bilion dan antara penyumbang utama adalah jualan runcit beras, tepung, bijirin lain dan gula serta jualan runcit sayur-sayuran dan buah-buahan segar atau yang diawet,”ujarnya.

Tambahnya, Perdagangan borong kekal kukuh yang disokong oleh permintaan domestik terhadap produk berkaitan isi rumah dan barangan makanan terutamanya ketika musim perayaan.

“Jualan borong barangan isi rumah meningkat sebanyak 7.6 peratus kepada RM 14.5 bilion, didorong terutamanya oleh peningkatan jualan dalam industri jualan borong farmaseutikal dan perubatan, minyak wangi, kosmetik, sabun dan dandadan diri serta barang kemas.

“Jualan borong makanan, minuman dan tembakau turut mencatatkan peningkatan dengan pertumbuhan 7.7 peratus tahun ke tahun mencapai RM 14.0 bilion.

“Lain-lain pengkhususan jualan borong menyumbang kepada pertumbuhan subsektor ini dengan peningkatan sebanyak 2.5 peratus kepada RM 24.7 bilion yang dipacu terutamanya jualan yang berkaitan kemasan rumah.

“Dalam tempoh yang sama, subsektor kenderaan bermotor mencatatkan peningkatan jualan berbanding Mac tahun lalu, disokong oleh kenaikan 4.1 peratus dalam jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor kepada RM5.2 bilion,” katanya.

Selain itu, peningkatan tersebut didorong oleh pertumbuhan 1.5 peratus dalam jualan kenderaan bermotor yang mencecah RM10.1 bilion.

Trend yang sama turut dilaporkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), yang merekodkan jualan sebanyak 72,704 unit kenderaan berbanding 71,199 unit kenderaan pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaporkan sebanyak 77,121 pendaftaran kenderaan, lebih tinggi berbanding 75,067 pendaftaran yang dicatatkan tahun lalu.

Mengulas lanjut, selepas pelarasan musim, indeks merekodkan pertumbuhan 4.2 peratus bulan ke bulan dari segi indeks volum, perdagangan borong dan runcit mencatatkan peningkatan 5.0 peratus tahun ke tahun.

“Pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh subsektor perdagangan borong yang meningkat 6.3 peratus diikuti oleh perdagangan runcit yang mencatatkan peningkatan 4.9 peratus dan kenderaan bermotor mencatatkan peningkatan marginal 0.9 peratus.

“Indeks volum mencatatkan peningkatan bulanan 0.3 peratus berbanding Februari 2025 sementara Sektor perdagangan borong dan runcit Malaysia terus mencatatkan prestasi kukuh dipacu oleh pertumbuhan perdagangan borong dan perdagangan runcit.

“Segmen perdagangan runcit juga mendapat manfaat daripada perbelanjaan berkaitan perayaan dan inisiatif bantuan tunai, manakala segmen perdagangan borong disokong oleh peningkatan permintaan terhadap barangan isi rumah dan makanan.

“Subsektor kenderaan bermotor turut merekodkan peningkatan jualan dan pendaftaran kenderaan berikutan promosi sempena musim perayaan,” katanya. – UTUSAN