PETALING JAYA: Jumlah pelaburan hartanah di Asia Pasifik bagi suku pertama 2025 mencecah RM144.59 bilion, mencerminkan minat pelabur global yang semakin pulih dalam sektor berkenaan walaupun turun 0.8 peratus berbanding 2024.
Perunding hartanah global, Knight Frank berkata, angka tersebut bagaimanapun mencatat penurunan 17.1 peratus berbanding suku sebelumnya.
Katanya, daripada jumlah itu, pelaburan rentas sempadan menyumbang 28.4 peratus, peratusan tertinggi sejak suku ketiga 2023.
“Malaysia dilihat masih mempunyai kelebihan daya saing seperti lokasi strategik, infrastruktur logistik yang matang dan asas perindustrian yang kukuh.
“Namun begitu, pelabur masih mengambil pendekatan berhati-hati disebabkan isu seperti ketidaktentuan mata wang, ketelusan dasar dan lambakan dalam sektor runcit serta perumahan,” menurut laporan terbaharu Cerapan Pasaran Modal Asia Pasifik oleh Knight Frank.
Knight Frank menjangkakan, jumlah transaksi di Malaysia akan meningkat pada suku kedua 2025, bergantung kepada kestabilan ekonomi dan hala tuju dasar yang lebih jelas.
Ketua Pegawai Eksekutif Knight Frank Asia Pasifik, Craig Shute berkata, pasaran hartanah rantau ini kekal stabil sepanjang 2025, dengan pelaburan rentas sempadan menunjukkan minat berterusan terutamanya dari Jepun, Australia dan Korea Selatan.
“Harga aset yang mula stabil serta jangkaan bahawa kadar faedah telah mencapai kemuncaknya mendorong pelabur untuk kembali memasuki pasaran,” katanya.
Jelasnya, bagaimanapun, cabaran luaran global seperti dasar tarif dan perdagangan yang tidak menentu boleh memberi kesan kepada pemulihan pasaran.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Knight Frank Asia Pasifik, Christine Li, memberi amaran, jika dasar perdagangan dikenakan dengan lebih ketat, sektor perindustrian dan runcit mungkin akan terkesan terlebih dahulu kerana ia melibatkan terus perbelanjaan pengguna dan pergerakan barangan.
Namun, permintaan untuk bangunan pejabat berkualiti tinggi di bandar utama seperti Tokyo, Sydney dan Melbourne masih kekal kuat, didorong oleh kadar penghunian yang tinggi dan pulangan sewaan yang stabil.
“Sebagai ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara, Malaysia berpeluang untuk mendapat manfaat jika minat awal pelabur asing bertukar menjadi pelaburan jangka panjang, terutama apabila pelabur mula mencari pasaran baharu yang lebih stabil dan berpotensi untuk berkembang,” katanya. – UTUSAN