KUALA LUMPUR: Skuad regu negara meneruskan rentak kemenangan dalam Kejohanan Piala Asia Sepaktakraw ASTAF 2025 apabila mudah membenam Singapura 2-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan D yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.
Dibarisi trio berpengalaman, Mohammad Syahir Rosdi (tekong), Azlan Alias (apit kanan) dan Farhan Adam (apit kiri), Malaysia tidak berdepan masalah untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan peringkat kumpulan.
Set pertama menyaksikan Malaysia tampil dominan sejak awal permainan dengan serangan tersusun yang membolehkan mereka menutup set tersebut dengan kemenangan 15-9.
Pada set kedua, anak-anak buah Ahmad Mohd Zin menoktahkan perlawanan dengan kemenangan bergaya 15-6 dalam masa kurang 30 minit.
Kemenangan itu meletakkan Malaysia di puncak Kumpulan D dengan dua kemenangan berturut-turut, selepas turut mencatat kemenangan mudah dalam aksi pembukaan menentang Nepal hari ini.-UTUSAN