KUALA SELANGOR: Malayan Banking Berhad (Maybank) mengukuhkan langkah strategik bersama institusi pendidikan tinggi (IPT) dengan membuka cawangannya yang kesembilan di dalam kampus iaitu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam.
Malah, pembukaan cawangan tersebut juga merupakan yang pertama di dalam universiti terbesar itu serta di Bandar Puncak Alam membolehkan lebih 40,000 penduduk di kawasan itu mendapatkan perkhidmatannya.
Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, pembukaan cawangan tersebut menerusi program Maybank@Campus menandakan komitmen antara Maybank dan UiTM dalam menyokong aspirasi pendidikan serta literasi kewangan.
“UiTM sentiasa membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bank untuk memberikan perkhidmatan perbankan mereka di UiTM. Program hari ini mencatat sejarah apabila UiTM Cawangan Selangor menjadi lokasi pelancaran Maybank@Campus pertama di UiTM.
“Ia sekali gus menjadikan kampus ini sebagai perintis yang menawarkan cawangan Maybank,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian cawangan bank berkenaan, semalam.
Sementara itu, Pengarah Wilayah Selangor dan Negeri Sembilan Maybank Malaysia, Abd.Razak Kamardin yang turut hadir memberitahu, pembukaan cawangan Maybank tersebut merupakan usaha strategik pihaknya dalam memperkenalkan konsep perbankan digital menyeluruh kepada pelajar dan komuniti kampus.
“Cawangan Maybank di UiTM Kampus Puncak Alam adalah cawangan kesembilan di dalam universiti di negara ini dan yang pertama melibatkan UiTM.
“Sebelum ini, kita membuka cawangan di universiti lain antaranya di Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan lain-lain lagi,” ujarnya. – UTUSAN