PETALING JAYA: Calon Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, keputusan untuk bertanding bagi merebut jawatan tersebut turut dibuat atas nasihat Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Katanya, beliau menerima nasihat tersebut atas dasar hormat meskipun Hassan sebelum ini menjadi pengkritiknya ketika di Pejabat Perdana Menteri.
Malah beliau menyifatkan Hassan sebagai seorang berjiwa pemberontak yang mempunyai tujuan.
“Beliaulah yang lantang mengkritik khidmat saya semasa saya berkhidmat di Pejabat Perdana Menteri (PMO), sebelum saya mengundurkan diri dan menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada Nurhisham Hussein, yang ketika itu merupakan Pengarah Ekonomi dan Ketua Pegawai Strategik (CSO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Dan beliau jugalah yang menyeru saya untuk turun ke gelanggang dan bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden PKR,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Nurul Izzah berkata, rasa hormat beliau pada Hassan tidak pernah luntur terutama pernah bersama-sama menghadapi kesusahan ketika berjuang bersama parti satu ketika dahulu.
“Kopi ini sememangnya pahit dan keras, namun kepahitan itu kita hadapi bersama.
“Kita pernah mengumpul dana daripada orang ramai, demi memenuhi keperluan khidmat, termasuklah wang deposit, pada ketika PKR berada dalam kesusahan suatu masa dahulu,” jelasnya.
Beliau dalam masa yang sama turut memberi ucapan khas kepada Hassan yang akan menunaikan ibadah haji.-UTUSAN