Pang Ron-Su Yin kecundang awal

Sukan

PETALING JAYA: Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin menjadi mangsa kebangkitan pasangan tuan rumah apabila tersingkir seawal pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Thailand 2025 di Stadium Nimibutr, hari ini.

Pilihan ketujuh kejohanan itu tumpas kepada scratch pair Thailand, Supak Jomkoh-Ornnicha Jongsathapornparn 21-15, 18-21, 17-21 dalam pertarungan selama satu jam.

Pang Ron-Su Yin yang berada di ranking ke-14 dunia bermula garang, namun gagal mengekalkan konsistensi apabila lawan bangkit lebih agresif di set kedua dan ketiga.

Kekalahan itu menamatkan cabaran awal mereka di kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 500 dan sekaligus menjadi tamparan dalam persiapan ke Malaysia Masters, minggu depan.

Sementara itu, satu lagi beregu negara, Yap Roy King-Valeree Siow turut terkandas apabila tewas kepada gandingan Korea Selatan, Ki Dong Ju-Jeong Na Eun 18-21, 17-21 dalam masa 33 minit.

Na Eun, yang pernah merangkul pingat perak di Olimpik Paris bersama pasangan lamanya Kim Won Ho, jelas membawa pengalaman besar apabila bergandingan mantap dengan Dong Ju untuk menyekat pasangan muda negara itu. – UTUSAN