KWAP santuni komuniti Bachok melalui dua inisiatif Madani

Perniagaan

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melaksanakan dua program tanggungjawab sosial korporat (CSR) iaitu Santuni Madani dan Sekolah Angkat Madani yang memberi manfaat kepada komuniti kampung dan sekolah-sekolah terpilih dalam daerah Bachok, Kelantan.

Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Nik Amlizan Mohamed berkata, pihaknya melihat tanggungjawab sosial sebagai satu bentuk pelaburan jangka panjang dalam pembangunan negara.

“Inisiatif seperti ini bukan sahaja membawa manfaat kepada komuniti setempat, tetapi juga memperkukuh hubungan antara organisasi seperti kami dengan rakyat dalam mendukung semangat Malaysia Madani.

“Kami juga amat menghargai sokongan dan kerjasama erat yang telah diberikan oleh ketua-ketua kampung serta guru-guru besar di daerah Bachok yang menjadi penggerak utama kejayaan awal program ini.

“Diharap lebih ramai pihak akan turut sama menyertai usaha-usaha seumpama ini demi manfaat bersama,” katanya dalam kenyataan.

Program Sekolah Angkat Madani memberi tumpuan kepada lima aspek utama melibatkan bantuan infrastruktur, bimbingan akademik, latihan guru, bantuan kewangan serta pembangunan sahsiah dan kemahiran pelajar.

Ia turut melibatkan 10 buah sekolah rendah terpilih dengan sumbangan lebih 4,300 pelajar dan antara sumbangan, termasuk satu unit televisyen pintar dan alat penghawa dingin untuk setiap sekolah, selain 1,000 pek kelengkapan sekolah diagihkan kepada pelajar.

Dalam pada itu, lebih 300 murid, ibu bapa dan guru menyertai program itu yang turut menyasarkan penyertaan aktif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam memperkasa pendidikan negara.

Sementara itu, program Santuni Madani pula dilaksanakan di Kampung Kandis yang menjadi kampung angkat KWAP dan berjaya menghimpunkan lebih 500 penduduk tempatan dan menyemarakkan semangat perpaduan melalui aktiviti gotong-royong bersama kakitangan KWAP.

Sebagai simbol sokongan sosial, KWAP turut menyerahkan sebuah van jenazah hasil sumbangan zakat kakitangan KWAP kepada penduduk kampung serta mengagihkan 100 pek MyPesara Prihatin kepada pesara kerajaan, asnaf dan golongan kurang berkemampuan.

Seterusnya, KWAP merancang untuk meneruskan kedua-dua program itu secara berperingkat sepanjang tahun ini bersama pelbagai rakan strategik, termasuk Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Pejabat Pendidikan Daerah Bachok, Universiti Malaysia Kelantan, NGO, persatuan pesara serta pihak berkuasa tempatan.

Program itu adalah sebahagian daripada pendekatan “whole-of-nation” yang digariskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi memperkukuh kerjasama antara sektor awam, swasta dan masyarakat dalam mencapai keseimbangan pembangunan ekonomi dan sosial. – UTUSAN