Cabaran Lebuhraya Duo IJM Allianz sasar 12,000 peserta

Sukan

PETALING JAYA: Cabaran Lebuhraya Duo IJM Allianz edisi ketujuh yang dijadualkan berlangsung pada 3 Ogos nanti, bakal disertai hampir 12,000 pelari daripada pelbagai negara.

Kejohanan itu turut mendapat pengiktirafan daripada World Athletics.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Datuk Lee Chun Fai berkata pihaknya teruja untuk menjadi penaja venue bagi larian berkenaan.

LEE CHUN FAI

“Cabaran Lebuhraya Duo Allianz IJM memberikan pengalaman positif berlari di lebuh raya yang tertutup sepenuhnya dan membuktikan diri sebagai acara unik untuk peminat sukan dari semua peringkat.

“Cabaran ini juga menjadi platform kepada orang di luar sana untuk mencapai gaya hidup yang lebih sihat, bersemangat dan lebih ceria,”katanya.

Chun Fai berkata, edisi kali ini, pihaknya menyasarkan lebih 12,000 peserta dengan 80 peratus daripadanya terdiri daripada warga tempatan manakala selebihnya merupakan pelari antarabangsa dan pendaftaran masih dibuka di www.ijmhighwayrun.com sehingga 30 Jun ini.

“Setakat ini, 80 peratus daripada sasaran pendaftaran telah dicapai. Kategori paling popular adalah separuh maraton (21km).

“Awalnya, kami sangka 10km paling diminati, tapi sekarang semakin ramai peserta mencabar diri mereka dengan jarak yang lebih jauh,” ujarnya.

SEAN WANG

Dalam pada itu, Allianz Malaysia yang menjadi penaja utama kejohanan itu berasa bangga kerana dapat menyediakan satu platform untuk pelari-pelari terutama mereka yang berada dalam Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Sean Wang, berkata pihaknya berbesar hati dapat berkerjasama dengan IJM Corporation Berhad untuk menganjur larian ini bagi tahun ketujuh.

“Kami menitik beratkan gaya hidup sihat dan acara ini mempunyai semua itu.

“Kami bangga dapat menyokong acara ini untuk tahun ketujuh. Kami juga berharap dapat memberi inspirasi kepada masyarakat setempat dalam mengutamakan kesihatan dan kecergasan mereka,” katanya.

Terdapat tiga kategori yang ditawarkan iaitu lima kilometer (km), 10km dan 21km dan maraton penuh 42.195 km.

Peserta akan menempuh laluan bersambung di Lebuh Raya Baru Pantai (NPE) dan Lebuh Raya Sungai Besi (BESRAYA) milik IJM Corporation Berhad (IJM).

Larian berkenaan bermula dari Sunway Pyramid menyusuri laluan lebuh raya NPE menuju Templer dan Kuchai Lama sebelum patah kembali ke Sunway Pyramid menuju garisan penamat.

Terdahulu, acara ini pernah mencatatkan dua pengiktirafan Malaysia Book of Records iaitu Laluan Penuh Pertama di Lebuh Raya dan Laluan Maraton Terpanjang di lebuh raya yang ditutup sepenuhnya pada edisi 2024 dengan penyertaaan seramai 10,000 peserta.

Acara ini dianjurkan oleh IJM Corporation Berhad dan Allianz Malaysia Berhad dengan kerjasama NPE dan BESRAYA sebagai penaja lokasi serta sokongan daripada pelbagai agensi termasuk Kementerian Kerja Raya, Polis Diraja Malaysia, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Pesuruhjaya Sukan.-UTUSAN