Sergio Perez sertai Cadillac?

Sukan

LONDON: Bekas pelumba Formula Satu (F1), Juan Pablo Montoya menggesa Sergio Perez untuk menunggu dan melihat sama ada terdapat kekosongan tempat di Alpine daripada tergesa-gesa menyertai Cadillac.

Sebelum ini terdapat laporan secara meluas mengatakan bahawa Perez adalah pilihan utama untuk mengambil salah satu tempat duduk di Cadillac selepas perbincangan awal.

Perez juga sudah mengadakan perbincangan dengan Alpine selepas portal The Race melaporkan bahawa pengurusan pelumba Mexico itu telah berbincang dengan bos Alpine, Flavio Briatore semasa Grand Prix Miami.

Perez ketika ini tidak mempunyai pasukan selepas Red Bull telah menamatkan kontraknya pada akhir tahun 2024 susulan mengharungi musim yang sukar.

Namun begitu, reputasinya dianggap semakin meningkat berikutan prestasi hambar Liam Lawson dan Yuki Tsunoda apabila dibandingkan dengan Max Verstappen.

“Saya masih fikir matlamat utama Sergio Perez adalah untuk mendapatkan tempat di Cadillac, tetapi jika dia boleh menyertai Alpine tahun depan, itu akan menjadi lebih baik untuknya.

“Jika anda mahu berlumba satu atau dua tahun lagi dalam F1 sebelum bersara, saya rasa Alpine lebih masuk akal tetapi apa yang akan berlaku kepada Franco Colapinto? Ia situasi yang rumit. Adakah Perez boleh kembali ke Red Bull?,” katanya.

Montoya menjangkakan Perez akan menyertai Cadillac selepas mereka bakal menjadi pasukan ke-11 dalam F1 pada 2026 malah sehingga kini masih belum mengumumkan barisan pemandunya. – AGENSI