Regu Malaysia tepati ramalan ke separuh akhir

Sukan

KUALA LUMPUR: Skuad regu negara mara ke separuh akhir Kejohanan Piala Asia Sepaktakraw ASTAF 2025 selepas membenam Brunei 2-0 dalam aksi suku di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.

Turun dengan gandingan mantap Muhammad Haziq Hairul Nizam(tekong), Mohamad Azlan Alias(apit kanan) dan Farhan Adam(apit Kiri), skuad kendalian Ahmad Mohd Zin tidak berdepan masalah untuk menguasai permainan seawal set pertama.

Set pembukaan menyaksikan regu negara pantas mencari mata, dengan servis tajam Haziq dan libasan bertenaga Azlan berjaya memerangkap pertahanan Brunei sebelum menamatkan set tersebut dengan kemenangan 15-7.

Momentum cemerlang itu diteruskan dalam set kedua apabila kemasukan Mohammad Syahir Mohd Rosdi dan Khairul Aman Mohd Rosdi menunjukkan kematangan taktikal dan disiplin permainan berkelas tinggi.

Kesilapan mudah pasukan Brunei turut dimanfaatkan sepenuhnya untuk menoktahkan kemenangan bergaya 15-4.

Kejayaan itu melayakkan Malaysia mara ke peringkat separuh akhir dan bakal berdepan Vietnam esok bagi merebut slot ke final.-UTUSAN