Tze Yong kalah lagi

Sukan

PETALING JAYA: Ng Tze Yong terus bergelut untuk mendapatkan sentuhan terbaik apabila tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Thailand 2025 di Stadium Nimibutr, Bangkok malam tadi.

Perseorangan lelaki negara itu kalah 13-21, 17-21 kepada pemain China, Weng Hong Yang dalam masa 49 minit, sekali gus masih belum mencatat kemenangan sejak kembali daripada kecederaan.

Tze Yong yang kini berada di ranking ke-305 dunia cuba memberi saingan di set kedua, namun masih belum cukup untuk menyaingi kelincahan lawannya yang berada di ranking ke-15 dunia.

Kekalahan itu merupakan yang ketiga berturut-turut selepas dia turut kecundang di pusingan pertama Kejohanan Badminton Asia dan Terbuka Taiwan sebelum ini.

Sementara itu, beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah memulakan kempen dengan langkah kanan apabila mudah menundukkan pasangan India, G. Rashmi-S. Sania 21-11, 21-5 dalam masa hanya 24 minit.

Kemenangan itu hadir ketika mereka masih terikat dalam kemelut rundingan kontrak bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang kini dikatakan berada di jalan buntu.

Pasangan ranking keempat dunia itu dijangka menggunakan kejohanan Super 500 ini sebagai pentas membuktikan nilai mereka, termasuk meningkatkan tekanan untuk mendapat syarat kontrak lebih baik.

Mereka dijadual bertemu pasangan Indonesia, Lanny Mayasari-Siti Fadia Ramadhanti di pusingan kedua hari ini bagi misi meneruskan kemaraan ke suku akhir.

Dalam acara beregu lelaki, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King turut berjaya mara selepas menewaskan gandingan India, Pruthvi Krishnamurthy-K. Sai Pratheek 22-20, 17-21, 21-18 dalam pertarungan hampir sejam.

Mereka akan menanti  rakan senegara, Aaron Tai-Kang Khai Xing selepas menewaskan gandingan tuan rumah, Pharanyu Kaosamaang-Tanadon Punpanich 12-21, 21-13, 21-15 dalam masa 58 minit. – UTUSAN