SHAH ALAM: Calon Timbalan Presiden dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar tetap akan meneruskan usaha mendekati rakyat untuk mencadangkan dasar kepada kerajaan sekiranya nasib tidak memihak kepadanya.
Menurut penyandang Naib Presiden itu, beliau berniat menyertai politik kerana mahu membaiki kehidupan masyarakat dengan membawa khidmat parti kepada mereka.
“Kenapa kita sibuk masuk politik, untuk ubah masyarakat, perbaiki keadaan mereka, pergi bertemu mereka dan pastikan kita bawa khidmat, mungkin ada pihak kata cliche. Tak apa, katalah cliche, yang penting saya melaksanakan.
“Saudara, saudari tiada siapa boleh hentikan kita. Tak apa, kalau saya tak menang saya teruskan kerja kerana saya mahu selalu ingat bila kita mula PKR dalam setiap zaman, kadang-kadang kita lupa, perlukan masa, perlu diingatkan,” katanya ketika berucap pada program Temu Rapat Akar Umbi bersama Nurul Izzah, malam tadi.
Dalam saingannya bersama penyandang, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli, Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh menawarkan khidmat kepemimpinannya untuk menyusun langkah strategik parti dalam tempoh 24 bulan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Jelas beliau, antara yang akan dilakukan termasuklah membela nasib generasi muda seperti pekerja tidak formal (gig), golongan wanita serta memberi latihan kedua-dua kumpulan itu untuk mendepani pilihan raya dan pascanya.
“Kalau tidak, sudah menang adakah kita akan kalah dengan parti lain yang berpengalaman, parti lain macam itu sap, sap, sui. Kita, duk belek, hendak letak, ubah macam mana?
“Jadi, pemikiran strategik, kena mula sekarang. Hendak menang kena tahu apa yang perlu dibuat menerusi latihan sekarang,” tegasnya.
Selain itu, beliau juga mahu menjadikan sejarah parti sebagai sebahagian daripada pembinaan kejayaan tanpa mengenepikan anggota yang berpengalaman untuk berkongsi pandangan dan cabaran pada zaman awal penubuhan PKR kepada generasi muda.
“Tengok masa 1998, mereka buat latihan dalam kalangan graduan Cina, kita kena hidupkan semula. Kena berkongsi, sekarang sudah hampir otai, kena bercerita dengan pengundi muda, masa kita muda kita pilih parti berbilang kaum.
“Pada masa sama kena ada minimum 40 peratus calon, kena ada wanita dan anak muda. Tetapi tak bermakna kita pinggirkan mereka yang sudah berumur, kena masukkan dalam sejarah hidup kita.
“Ini kadang-kadang bila hendak cari otai (orang lama), kena cari penglipur lara ‘haaa…yang tahu itu Tok Mat sahaja, kami tak ingat.’ Kena ada sisipan,” ujarnya. – UTUSAN