Rundingan menang-menang AS-China petanda baik buat Malaysia

Perniagaan

PETALING JAYA: Kesediaan Amerika Syarikat (AS) untuk berunding dengan pendekatan menang-menang bersama China dilihat sebagai petanda positif terhadap masa depan rundingan perdagangan di antara Malaysia dan negara itu.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, perkembangan positif dalam rundingan semasa antara China dan AS membuktikan kedua-dua pihak bersikap rasional, meskipun hanya berbaki 60 hari daripada tempoh 90 hari yang diumumkan oleh Presiden Donald Trump.

“Perkara ini memberi petunjuk jelas rundingan antara Malaysia dan AS juga berpeluang untuk dilaksanakan dalam suasana yang lebih kondusif, dengan kesediaan pentadbiran Trump ketika itu untuk mencapai matlamat bersama secara adil dan menang-menang.

“Rundingan China-AS dan sebelum itu kejayaan rundingan antara United Kingdom (UK) dan AS turut memberi impak positif, membuktikan semua pihak cenderung untuk mencari penyelesaian rasional tanpa dipengaruhi emosi.

“Kepentingan perdagangan dan kemajuan ekonomi negara diutamakan, sementara pada masa sama, AS juga dilihat berusaha memperbaiki struktur ekonominya yang dibelenggu peningkatan hutang dan defisit belanjawan setiap tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, AS dan China dilaporkan bersetuju untuk mengurangkan tarif antara satu sama lain selama 90 hari, menandakan ketegangan yang mereda dalam perang perdagangan berterusan antara dua ekonomi terbesar dunia itu.

Menerusi perjanjian yang dirundingkan di Geneva akhir minggu lalu, AS akan mengurangkan tarif tambahan ke atas barangan China kepada 30 peratus daripada 145 peratus manakala China akan mengurangkan tarif import AS kepada 10 peratus daripada 125 peratus.

China turut mengumumkan untuk membatalkan atau menggantung beberapa langkah bukan tarif yang sebelum ini dikenakan ke atas AS.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan perkembangan semasa, rundingan perdagangan antara Malaysia dan AS dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.

“Ini penting bagi memastikan kelangsungan ekonomi global tidak terjejas dengan teruk. Tempoh 60 hari itu mungkin sudah dianggap masa paling maksimum bagi AS untuk menangani isu defisit perdagangannya dengan negara-negara lain,” ujarnya. – UTUSAN