MoF dijangka keluar dari DNB seawal hujung tahun ini

Perniagaan

PETALING JAYA: Kementerian Kewangan (MoF) menerusi MoF Inc, dijangka melepaskan sepenuhnya kepentingan dalam Digital Nasional Bhd. (DNB) seawal hujung tahun ini.

Ia sekali gus membuka jalan kepada pemilikan penuh industri terhadap syarikat milik kerajaan yang ditubuhkan bagi melaksanakan rangkaian 5G negara.

Ta Securities berkata, perkembangan itu susulan penjualan 100,000 saham milik U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) dalam DNB kepada tiga penyedia telekomunikasi utama iaitu CelcomDigi Bhd., Maxis Bhd. dan YTL Power International Bhd. serta satu saham kepada MoF Inc.

“MoF Inc akan melaksanakan opsyen jualnya untuk menjual saham biasa selain memindahkan pendahuluan pemegang sahamnya dalam DNB dalam tempoh sebulan iaitu selepas 12 November 2025.

“Garis masa itu boleh dilanjutkan jika dipersetujui bersama secara bertulis oleh MoF Inc, YTL, CelcomDigi dan Maxis.

“Jika MoF Inc gagal melaksanakan opsyen jual dalam tempoh yang dinyatakan, opsyen jual itu akan luput dan pemegang saham yang tinggal boleh mengaktifkan opsyen beli mereka dalam tempoh sebulan selepas itu,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

TA Securities menyifatkan semakan semula struktur pegangan DNB itu tidak mengejutkan memandangkan U Mobile dikehendaki keluar dari DNB berikutan berita kejayaannya melaksanakan rangkaian 5G kedua Malaysia.

Katanya, pemegang saham sedia ada DNB akan terus memberi tumpuan kepada pengembangan infrastruktur dan melaksanakan inisiatif pengoptimuman kos.

“Opsyen jual menunjukkan bahawa MoF mungkin berpotensi keluar dari DNB menjelang akhir tahun, dengan kepentingannya mungkin diagihkan semula dalam kalangan pemegang saham sedia ada,” katanya.

Sementara itu, Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, semakan semula pegangan saham dalam DNB membayangkan U Mobile akan menjadi pemegang saham tunggal bagi rangkaian 5G kedua.

“Justeru, langkah itu seterusnya akan menghapuskan kebimbangan potensi perbelanjaan modal 5G terhadap CelcomDigi dan Maxis.

“Malah, tarikh kini telah ditetapkan, dengan MOF Inc boleh melaksanakan opsyen jual dalam tempoh sebulan selepas 12 November 2025.

“Apabila MOF Inc keluar, DNB akan menjadi syarikat bersekutu bagi setiap pemegang saham yang tinggal dan akaun ekuiti,” katanya.

Menurut makluman CelcomDigi dan Maxis kepada Bursa Malaysia, U Mobile bersetuju untuk menjual keseluruhan 100,000 sahamnya dalam DNB pada harga RM100,000.

CelcomDigi, Maxis dan YTL Power masing-masing akan memperoleh 33,333 saham, manakala MOF Inc akan mengambil satu saham.

Urus niaga itu dijadualkan selesai pada 30 Mei 2025. – UTUSAN