JOHOR BAHRU: Lebih 80 peserta yang menghimpunkan sektor awam, korporat dan masyarakat di bandar raya ini berentap dalam pertandingan Golf Amal Pengerang 2025 yang julung kali diadakan di The Els Club Desaru Coast.
Pertandingan yang turut disertai pegawai kanan kerajaan, pemimpin industri, ketua korporat, dan peminat golf, terutamanya dari kawasan Johor itu juga bertujuan mempromosikan pelancongan sukan di kawasan tersebut selain mengumpul dana bagi Yayasan Makmur Pengerang (YMP) untuk disalurkan kepada inisiatif kebajikan untuk komuniti di kawasan Pengerang.
“Golf Amal Pengerang bukan sekadar acara sukan. ia merupakan satu platform yang berkesan untuk merangsang kerjasama dan memperkukuh hubungan antara sektor awam, pemain korporat dan masyarakat secara menyeluruh,” kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pengerang, Mohammad Nazrul Abd. Rahim.
Kejohanan itu turut menampilkan pelbagai kategori hadiah termasuk empat hadiah pukulan selubang, terdekat ke pin, terdekat ke garisan, pukulan terpanjang, tiga pasukan terbaik serta trofi Cabaran Golf Amal Pengerang. – UTUSAN