Aaron-Wooi Yik ‘mandi peluh’ ke pusingan kedua Terbuka Thailand

Sukan

PETALING JAYA: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menunjukkan ketahanan tinggi untuk menewaskan pasangan Perancis, Julien Maio-William Villeger dalam aksi pembukaan Kejohanan Badminton Terbuka Thailand 2025, di Stadium Nimibutr, Bangkok.

Mereka mengambil masa lebih sejam untuk mencatat kemenangan 22-24, 21-19, 21-15 pada aksi awal pagi tadi.

Set pertama dimenangi pasangan Perancis dengan keputusan 24-22 tetapi Aaron-Wooi Yik bangkit pada dua set berikutnya untuk menundukkan lawan.

Aaron-Wooi Yik bakal membuat percaturan dengan pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita di pusingan kedua yang dijadualkan berlangsung pada pukul 9 malam ini.

Beregu lelaki negara lain, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, turut mara ke pusingan kedua selepas mudah menewaskan rakan senegara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal 21-10, 21-11.

Dalam kategori perseorangan lelaki, pemain India, Tharun Mannepalli mengatasi Justin Hoh dengan keputusan 21-19, 21-16.

Sementara itu, perseorangan profesional wanita negara, Goh Jin Wei turut terkandas apabila dibelasah oleh pemain No. 8 dunia dari China, Chen Yu Fei 21-6, 21-9. – UTUSAN