Bekas pemain Everton penolong jurulatih Harimau Malaya

Sukan

PETALING JAYA: Bekas pemain Everton, Jose Baxter dilantik sebagai penolong jurulatih Harimau Malaya bagi membantu Peter Cklamovski.

Perkara itu telah disahkan oleh pengendali skuad kebangsaan, Cklamovski dalam sidang media yang diadakan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini.

Selain Everton, Baxter pernah beraksi untuk Oldham Athletic, Sheffield United dan Plymouth Argyle. Beliau juga pernah beraksi di Amerika Syarikat bersama Memphis 901 sebelum bersara pada usia 29 tahun.

Selepas bersara pada 2021, Baxter kembali menyertai akademi Everton sebagai jurulatih. Beliau kemudiannya menggalas peranan sebagai jurulatih skuad Bawah 16 Tahun (B-16).

Pelantikan Baxter yang berusia 33 tahun menamatkan persoalan berkenaan siapa calon yang menggantikan penolong jurulatih sebelumnya dari Australia, Mark Milligan.

Milligan hanya sempat bersama Harimau Malaya selama tiga bulan sebelum kembali ke Australia pada April lalu. Beliau kemudiannya diumumkan sebagai jurulatih baharu Newcastle Jets.-UTUSAN