PETALING JAYA: UDA Holdings Berhad (UDA), peneraju dalam pembangunan hartanah dan pengurusan aset negara menyantuni komuniti luar bandar dengan memperkasa lebih 5,000 penduduk menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), UDA Cares – Project RE_.
Sumbangan tersebut disalurkan menerusi Program Satelit CSR Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), bersempena Program Madani Rakyat (PMR) 2025 Sabah yang berlangsung selama tiga hari bermula 9 Mei lalu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Johari Shukri Jamil berkata, pelaksanaan inisiatif melalui projek berkenaan merupakan sebahagian usaha berterusan syarikat untuk memperkasa komuniti menerusi program kemasyarakatan.
“Langkah ini diharap dapat menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan anak muda dan penduduk setempat, sekali gus mewujudkan persekitaran yang positif.
“Usaha ini juga selari dengan penjenamaan UDA iaitu LIFE yang merujuk kepada akronim bagi ‘Legasi’, ‘Integrasi’, ‘Ketelitian’ dan ‘Memperkasa’,” katanya dalam kenyataan.
Program anjuran KUSKOP selaku kementerian peneraju itu turut mendapat kerjasama Kerajaan Negeri Sabah dan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU).
Menerusi Project RE_, UDA menjalankan kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur di Pulau Sebatik, termasuk pemasangan empat unit lampu solar di gelanggang futsal, membaik pulih Perpustakaan Desa, pemasangan dua unit lampu solar di pos kawalan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), serta empat unit lampu solar di Jeti Kampung Mentadak Baru.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick merakamkan penghargaan kepada UDA atas komitmen yang ditunjukkan, selain menyeru lebih banyak agensi serta sektor korporat tampil membantu pembangunan komuniti luar bandar.
“Usaha seperti ini amat penting dalam menjayakan agenda pembangunan negara berteraskan aspirasi Malaysia MADANI, khususnya dalam aspek kesejahteraan rakyat demi kepentingan bersama,” katanya.
Bertemakan ‘Menoktahkan Kemiskinan Melalui Keusahawanan’, Program Satelit CSR KUSKOP turut menampilkan pelbagai pengisian seperti Program Halal Success KUSKOP dan Program Bicara Ilmu & Jom@Coop bagi memberi manfaat kepada pengunjung. – UTUSAN