PETALING JAYA: Beregu utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah meneruskan kemaraan cemerlang ke suku akhir Terbuka Thailand 2025 selepas menundukkan wakil Indonesia dalam pertarungan tiga set di Bangkok, hari ini.
Gandingan pilihan pertama itu mengatasi cabaran Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti 21-17, 10-21, 21-15 dalam aksi pusingan kedua yang berlangsung selama 56 minit di Stadium Nimibutr.
Kemenangan itu hadir tepat pada waktunya buat Pearly-Thinaah yang ketika ini sedang bergelut dengan isu luar gelanggang membabitkan kontrak bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Walaupun tewas set kedua dengan jurang besar, pasangan negara mempamerkan ketenangan dan penguasaan taktikal untuk menamatkan set penentuan dengan penuh meyakinkan.
Turut mencuri tumpuan ialah kekalahan mengejut Go Pei Kee-Teoh Mei Xing, apabila pasangan pilihan kelapan itu tersingkir awal di tangan beregu muda Indonesia yang jauh lebih rendah rankingnya.
Meilysa Trias Puspitasari-Rachel Allessya Rose yang menghuni ranking ke-51 dunia mengejutkan wakil Malaysia menerusi kemenangan mudah 21-18, 21-7 dalam masa 36 minit.
Aksi longlai Pei Kee-Mei Xing dalam set kedua membuktikan jurang umur dan pengalaman bukan jaminan apabila gagal bangkit selepas tewas set pertama.
Dengan keputusan ini, hanya Pearly-Thinaah kekal sebagai wakil tunggal Malaysia dalam saingan beregu wanita kejohanan berstatus Super 500 itu. – UTUSAN