Dua individu ditahan ugut sebar fitnah Son

Sukan

KOREA SELATAN: Dua individu ditahan pihak polis Korea Selatan selepas disyaki mengugut kapten pasukan Tottenham Hotspur dan skuad kebangsaan Korea Selatan, Son Heung-min, dengan dakwaan palsu berkaitan kehamilan.

Jurucakap Agensi Polis Kebangsaan Korea memaklumkan kepada AFP bahawa suspek terdiri daripada seorang wanita berusia 20-an dan seorang lelaki dalam lingkungan 40-an.

Menurut laporan agensi berita Yonhap, kedua-dua suspek dipercayai cuba memeras wang daripada pemain berusia 32 tahun itu dengan mendakwa wanita terbabit mengandung anak Son secara palsu.

Agensi pengurusan Son, Son & Football Limited, berkata mereka tekad untuk mengambil tindakan undang-undang yang tegas terhadap mereka yang terlibat.

“Kami akan mengambil tindakan undang-undang yang kuat tanpa kelonggaran terhadap perbuatan ugutan dan penyebaran maklumat palsu ini,” kata agensi itu dalam satu kenyataan.

Agensi berkenaan turut menegaskan bahawa pemain itu adalah mangsa sepenuhnya dalam insiden tersebut.

“Kami ingin menekankan bahawa Son Heung-min adalah mangsa sebenar dalam kes ini,” tambah kenyataan itu lagi.

Sementara itu, polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk memeriksa bukti komunikasi antara tertuduh dan Son bagi mengesahkan elemen pemerasan.

Sebelum ini, tonggak utama Spurs selama sedekad itu, telah merekod sebanyak 173 gol dalam 451 penampilan, turut menyatakan komitmennya untuk menamatkan karier di kelab tersebut dengan membantu pasukan meraih kejuaraan Liga Europa menentang Manchester United 21 Mei ini. –UTUSAN