KUALA LUMPUR: Seramai 66 pemain golf junior dari enam negara bakal memeriahkan Kejohanan Golf Jemputan Junior RSGC-SportExcel (JIGC) Edisi ke-10 yang bakal membuka tirai dari 20 hingga 22 Mei ini di East Course Kelab Golf Diraja Selangor (RSCG), Kuala Lumpur.
Kejohanan yang dianjurkan bersama oleh RSGC dan Yayasan Kecemerlangan Sukan Malaysia (SportExcel) ini menampilkan penyertaan dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Korea Selatan, Jepun dan Taiwan.
Sebanyak 33 peserta adalah dari Malaysia, manakala selebihnya mewakili negara-negara jiran dan kelab ‘reciprocal’ luar negara dan dibahagikan kepada empat kategori iaitu lelaki dan perempuan bagi umur 16–18 tahun serta 15 tahun dan ke bawah.
Pengerusi penganjur, Khor Yew Teik berkata, penganjuran tahun ini bukan sahaja mencatat sejarah tersendiri, malah mencerminkan perjalanan luar biasa penganjur dalam membina platform bertaraf antarabangsa untuk bakat muda.
“Tahun ini merupakan satu pencapaian penting bagi kami kerana genap satu dekad penganjuran kejohanan berprestij ini.
“Apa yang bermula sebagai inisiatif akar umbi kini berkembang menjadi antara kejohanan jemputan junior paling dihormati di rantau ini,” katanya kepda pemberita dalam sidang media Kejohanan Golf Jemputan Junior RSGC-SportExcel 2025.
Khor Yew Teik juga berkata inisiatif terbaharu yang menyaksikan empat pemain terbaik Malaysia bakal dipilih untuk mewakili negara ke Kejohanan Junior Serantau Asia Tenggara dengan semua kos ditanggung penganjur.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan kami untuk menyediakan laluan pembangunan yang bermakna kepada pemain muda agar mereka dapat berkembang dan membawa nama Malaysia ke pentas serantau,” ujarnya.
Kejohanan ini merupakan Acara Kira Mata yang diiktiraf World Amateur Golf Ranking (WAGR) dengan format stroke play 54 lubang yang dijalankan selama tiga hari.
Kejohanan JIGC turut menerima sokongan daripada Persatuan Golf Malaysia (MGA), yang memainkan peranan penting dalam memastikan pengiktirafan serta pemerkasaan kejohanan golf junior tanah air.
Terdahulu, edisi 2024 menyaksikan Jonathan Manuel Wijanto dari Indonesia dan Ngo Yi Belle dari Malaysia muncul juara keseluruhan Kejohanan Jemputan Golf Junior RSGC-SportExcel (JIGC) ke-9, 2024. – UTUSAN