Bilangan jawatan meningkat kepada 9.06 juta pada suku pertama

Perniagaan

PETALING JAYA: Permintaan tenaga buruh negara terus mencatatkan pertumbuhan positif dengan bilangan jawatan meningkat 1.4 peratus kepada 9.06 juta pada suku pertama 2025 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan sebanyak 127,000 jawatan itu dipacu oleh perkembangan ekonomi semasa yang kekal memberangsangkan yang disokong oleh permintaan dalam negara yang berdaya tahan.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 97.9 peratus jawatan telah diisi manakala baki 2.1 peratus kekal kosong.

“Bilangan jawatan diisi turut meningkat sebanyak 1.4 peratus kepada 8.87 juta dengan sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan tertinggi sebanyak 1.8 peratus diikuti sektor pembuatan 1.5 peratus dan pembinaan 0.5 peratus.

“Sektor perkhidmatan terus mengungguli senarai dengan 4.69 juta jawatan diisi atau 52.8 peratus daripada keseluruhan,diikuti sektor pembuatan (2.38 juta: 26.9 peratus) dan pembinaan (1.25 juta: 14.1 peratus),” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, dalam kategori kemahiran, kebanyakkan jawatan diisi adalah dalam kategori separuh mahir iaitu 5.55 juta yang diikuti kategori mahir 2.23 juta dan rendah kemahiran 1.09 juta.

Ujarnya, sebanyak 194,100 jawatan masih belum diisi dengan peningkatan 1.2 peratus berbanding 191,900 pada suku pertama 2024.

“Sektor pembuatan kekal sebagai penyumbang utama kekosongan jawatan iaitu 57.3 peratus, terutama dalam subsektor elektrik, elektronik dan optikal dengan 33,900 kekosongan dan petroleum, kimia, getah dan plastik menyumbang 20,200 kekosongan.

“Sektor pertanian dan pembinaan pula masing-masing menyumbang 31,800 (16.4 peratus) dan 25,400 (13.1 peratus) kekosongan.

“Dalam pada itu, sebanyak 33,200 jawatan baharu diwujudkan pada suku ini, meningkat 3.4 peratus berbanding 32,100 pada suku sama tahun lalu.

“Kategori separuh mahir terus menjadi penyumbang terbesar dengan pewujudan 20,800 jawatan diikuti mahir 8,900 dan rendah kemahiran 3,500,” ujarnya.

Mengulas lanjut, sektor perkhidmatan mencatat jumlah tertinggi dengan 16,000 jawatan baharu diwujudkan didorong subsektor perdagangan borong dan runcit 8,800 jawatan.

Sementara itu, sektor pembuatan menyumbang 12,100 jawatan manakala pembinaan mencatatkan 3,600.

Tambahnya, trend pertumbuhan buruh ini selari dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dalam memperkasa keupayaan tenaga kerja tempatan.

“Peningkatan permintaan buruh menggambarkan kemajuan dalam pelbagai industri utama dan kesiapsiagaan negara membina tenaga kerja kompetitif pada peringkat global,” katanya.- UTUSAN