Wei Chong-Kai Wun dikejutkan pasangan muda Denmark

Sukan

PETALING JAYA: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menerima tamparan awal apabila tersingkir seawal pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Thailand di Stadium Nimibutr, sebentar tadi.

Pilihan ketiga kejohanan itu tunduk kepada gandingan muda Denmark ranking ke-75 dunia, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer, 21-15, 19-21, 18-21 dalam aksi yang berlangsung 46 minit.

Kekalahan itu amat mengecewakan memandangkan pasangan negara yang berada di ranking ketujuh dunia dijangka mara lebih jauh berdasarkan prestasi semasa dan kedudukan mereka sebagai pilihan utama.

Kai Wun berkata beliau bersama Wei Chong mengakui banyak kesilapan yang dilakukan sekali gus menjadi punca kekalahan kepada gandingan tersebut.

“Kami mungkin tidak cukup bersedia, terutama dari segi ‘finishing’, beberapa pukulan penting sukar dijangka, jadi banyak kesilapan berlaku secara tiba-tiba.

“Shuttle juga sangat laju hari ini, jadi kami tidak dapat kawal dengan baik terutamanya di set penentuan, ini beri kelebihan kepada pihak lawan,” kata Kai Wun selepas perlawanan sebentar tadi.

Sementara itu, Wei Chong mengakui tidak mudah berdepan pasangan yang baru pertama kali ditentang kerana gaya permainan mereka jauh berbeza dan lebih lembut daripada lawan biasa.

“Kami tidak terganggu dengan kejohanan pertama selepas sebulan berehat kerana sepanjang masa kami masih berlatih seperti biasa,” kata Wei Chong.

Beregu negara itu dijadualkan kembali beraksi pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters minggu depan dan akan menentang satu lagi pasangan Denmark, Andreas Sondergaard-Jesper Toft di pusingan pertama Selasa ini. – UTUSAN