SUBANG JAYA: Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) menyifatkan pengiktirafan yang diterima dalam Anugerah Sukan Negara 2024 sebagai satu pencapaian besar yang mengangkat martabat komuniti pekak dalam arena sukan tanah air.
MSDeaf yang menerima Anugerah Khas pada majlis yang berlangsung Selasa lalu melihat pencapaian tersebut sebagai satu isyarat jelas bahawa golongan kurang upaya juga mampu bersaing jika disokong dengan pengurusan profesional dan hala tuju yang tersusun.
Kejayaan ini juga menandakan perubahan positif dalam organisasi tersebut sejak penglibatan penasihat korporat yang membawa pendekatan baharu dari segi tatakelola dan pelaksanaan program pembangunan atlet.
Presiden MSDeaf, Ong Shin Reunn merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta kerajaan Malaysia atas pengiktirafan yang diberikan kepada persatuan itu.
Beliau berkata, anugerah tersebut bukan sekadar simbol penghormatan, malah menjadi pembakar semangat untuk terus memperkukuh pembangunan atlet pekak dari peringkat akar umbi hingga ke tahap antarabangsa.
“Saya bersyukur kerana akhirnya MSDeaf berhasil mendapat salah satu anugerah berprestij dalam Anugerah Sukan Negara 2024 ini sekaligus membuktikan kerajaan Malaysia mengiktiraf usaha-usaha yang telah dilaksanakan kami bagi memartabatkan sukan dan atlet-atlet pekak negara.
“Kami juga berharap agar pembangunan sukan warga Pekak negara dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh dan konsisten merangkumi pembangunan atlet dari peringkat akar umbi serta memperkasakan program atlet podium Pekak yang mampu memenangi pingat untuk negara di peringkat antarabangsa,” kata Shin Reunn.
Sementara itu, Penasihat MSDeaf, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai menegaskan bahawa kejayaan ini adalah hasil daripada strategi komunikasi dan pemasaran yang lebih terbuka yang diterapkan dalam pentadbiran semasa.
Menurutnya, pendekatan korporat dalam pengurusan kewangan dan kurangnya kebergantungan kepada dana kerajaan telah menjadikan MSDeaf lebih berdikari dan berdaya saing.
“Anugerah ini boleh dilihat sebagai kesan dari tindakan MSDeaf membawa tadbir urus korporat, pengurusan kewangan dan daya tahan kepada pihak persatuan untuk tidak mengarapkan dana kerajaan semata-mata seperti sebelum ini.
“Sudah sampai masa untuk kita naikkan taraf kehidupan para atlet Pekak ini kerana kita tahu cabaran mereka lebih dari atlet-atlet normal,” kata Sheikh Farouk.
Anugerah yang diterima itu juga dijangka menjadi pemangkin semangat buat barisan atlet menjelang tiga kejohanan utama iaitu Sukan Pekak Asia Tenggara di Jakarta, temasya Sukan Orang Pekak Malaysia di Kuching dan Sukan Deaflympic 2025 di Tokyo hujung tahun depan. – UTUSAN