McIlroy enggan layan DeChambeau demi buru kejuaraan PGA

Sukan

CHARLOTTE: Pemain golf No.2 dunia, Rory McIlroy menegaskan keengganannya menegur Bryson DeChambeau di Kejohanan Masters pada April lalu, bukan kerana bermasam muka tetapi untuk kekal fokus memburu kejuaraan.

“Saya tak tahu apa yang dia jangka, kami cuba menang Masters, saya tak akan cuba jadi kawan baiknya di luar sana.

“Semua orang ada cara berbeza bermain golf, saya fokus pada diri dan apa yang saya perlu buat, itu saja sebabnya,” kata McIlroy.

Terdahulu, DeChambeau meluahkan rasa terkilan apabila mendakwa McIlroy tidak langsung menyapanya ketika mereka bergandingan dalam pusingan akhir di Augusta.

Namun segala kritikan itu seakan terpadam apabila Rory memenangi ‘Green Jacket’ selepas menewaskan Justin Rose dalam playoff untuk melengkapkan Grand Slam karier.

Tumpuan kini beralih ke Quail Hollow apabila McIlroy bakal turun bersama dua pemain teratas dunia, Scottie Scheffler dan Xander Schauffele dalam kumpulan pilihan utama bagi Kejohanan PGA yang bermula hari ini.

“Padang ini rasa sama macam kejohanan biasa, cuma rough lebih tebal, tapi secara keseluruhan ia tak banyak beza,” kata McIlroy yang pernah menang empat kali di venue itu.

Jon Rahm yakin kejayaan di Masters akan membakar semangat McIlroy sekali gus mampu meraih takhta buat kali kelima di Quail Hollow.

“Saya tak terkejut langsung jika kemenangan itu angkat beban dari bahunya dan bantu dia kembali mendominasi,” kata Rahm. – AGENSI