KOTA BHARU: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) telah memberi pilihan kepada syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) atau Kerajaan Kelantan dalam melaksanakan usaha baik pulih cerun runtuh berhampiran Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Remah di Tanah Merah dekat sini.
Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, kedua-dua pihak boleh memilih untuk melaksanakan usaha tersebut melalui pakej-pakej di bawah Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) berikutan ia turut melibatkan aset air dan sebagainya.
Menurutnya, selain itu, pihak AKSB merasakan masih ada ruang untuk memohon peruntukan dalam bentuk geran daripada Kerajaan Persekutuan, namun akan berlaku kesulitan berikutan tiada butiran diperlukan.
“Ini berlaku kerana di peringkat Petra, jarang sekali kejadian bencana melibatkan aset air. Pihak AKSB dan kerajaan negeri boleh memilih kaedah yang mahu digunakan tetapi perlu buat keputusan cepat.
“Kebimbangan kami (Petra) adalah sekiranya baik pulih cerun tidak disegerakan. Apabila tiba musim tengkujuh, cerun tersebut bukan sahaja semakin terancam, tetapi mungkin akan turut menjejaskan LRA Bukit Remah sendiri.
“Cabaran kita adalah untuk melihat keperluan membaik pulih cerun berhampiran LRA Bukit Remah. Diharap AKSB dan kerajaan negeri dapat buat keputusan sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui pemberita semasa melawat perkembangan projek pembinaan LRA Tanjung Mas, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah memberitahu, kejadian cerun runtuh di dalam kawasan aset air merupakan perkara yang sangat jarang berlaku dan sudah pasti ada beberapa ruang untuk kerajaan negeri meminta bantuan daripada Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan dana untuk baik pulih.
Katanya, terdapat permohonan daripada AKSB bagi mendapatkan dana bagi tujuan tersebut dan Petra mengemukakan pilihan sama ada usaha baik pulih cerun dilaksanakan melalui pakej PAAB atau permohonan lain.
“Setakat ini, AKSB hanya memaklumkan jangkaan kos untuk baik pulih cerun yang dianggarkan bernilai RM6.05 juta. Bagi penyelesaian jangka sederhana dan panjang, masih ada beberapa perancangan lain.
“Cuma ia adalah langkah mitigasi segera yang perlu diperhalusi. Kita harap perkara itu akan dapat diputuskan segera supaya masalah berkenaan dapat diselesaikan dengan secepat mungkin,” katanya-UTUSAN