Pendedahan AMMB terhadap sektor perdagangan AS tidak signifikan

Perniagaan

PETALING JAYA: AMMB Holdings Bhd. (AMMB) tidak terdedah dengan isu sektor perdagangan berkaitan Amerika Syarikat (AS) kerana ia hanya merangkumi 4.7 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjamannya setakat ini.

CIMB Securities Sdn. Bhd. (CIMB Securities) berkata, angka tersebut adalah sejajar dengan petunjuk yang diberikan oleh institusi kewangan lain dan turut selari dengan unjuran awal bahawa pendedahan industri perbankan kepada sektor perdagangan secara langsung adalah tidak material.

“Namun, kebimbangan utama pasaran kini lebih tertumpu kepada kesan lanjutan yang masih sukar dikuantifikasikan oleh kebanyakan bank pada ketika ini.

“Oleh itu, kami kekal dengan pandangan neutral dan mengekalkan saranan “pegang” ke atas AMMB dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM5.70 bagi tahun kewangan 2026.

“Ini berdasarkan pulangan atas ekuiti (ROE) sebanyak 8.peratus dan nisbah harga kepada nilai buku (PBV) yang adil sebanyak 0.9 kali,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Menurutnya, setakat suku ketiga tahun kewangan 2025, pinjaman kepada segmen pembuatan oleh AMMB berjumlah RM16 bilion, iaitu 12 peratus daripada jumlah pinjaman kasar sebanyak RM137 bilion dan merupakan jumlah lebih tinggi berbanding purata industri sebanyak 6.0 peratus.

“Pinjaman terjejas kasar bagi segmen tersebut hanya berjumlah RM233 juta, bersamaan nisbah 1.5 peratus, lebih rendah berbanding kadar keseluruhan kumpulan iaitu 1.7 peratus,” katanya.

Bagi pendedahan secara langsung kepada sektor perdagangan AS, AMMB memaklumkan ia melibatkan 143 pelanggan dengan nilai pinjaman sebanyak RM6.4 bilion.

“Daripada jumlah itu, keseluruhan komitmen pinjaman yang diluluskan atau diberikan adalah sebanyak RM9.3 bilion.

“AMMB turut mengelaskan pendedahan itu kepada tiga kategori iaitu sebanyak RM140 juta melibatkan pelanggan yang dijangka mengalami kesan langsung tinggi dengan lebih 50 peratus hasil terjejas dan RM680 juta bagi pelanggan yang dijangka menerima kesan langsung sederhana antara 25 hingga 50 peratus hasil terjejas.

“Selebihnya berjumlah RM5.6 bilion pula melibatkan pelanggan yang dijangka hanya mengalami kesan langsung rendah iaitu kurang daripada 25 peratus hasil terjejas.

“Majoriti pelanggan itu merupakan pelanggan bermutu tinggi dengan kedudukan kewangan yang kukuh,” ujarnya.

Dalam pada itu, CIMB Securities berkata, pinjaman berkaitan segmen elektrik dan elektronik (E&E) berjumlah RM935 juta daripada jumlah keseluruhan pinjaman diluluskan sebanyak RM1.1 bilion, melibatkan 95 pelanggan.

“Manakala, pinjaman kepada segmen perabot berjumlah RM600 juta membabitkan 220 pelanggan.

“Volatiliti pasaran yang berlaku kebelakangan ini turut memberi impak positif terhadap pendapatan dagangan dan pelaburan kumpulan tersebut.

“Dari sudut pembayaran dividen pula, AMMB kekal komited untuk mengekalkan kadar pembayaran yang lebih tinggi daripada julat sejarah 35 hingga 40 peratus, selaras dengan unjuran semasa sebanyak 42.1 peratus atau 23 sen sesaham bagi tahun kewangan 2026,” katanya.

Tambahnya, antara Petunjuk Prestasi Utama (KPI) AMMB bagi tahun kewangan 2025, termasuklah ROE sebanyak 10 peratus, pertumbuhan pinjaman 1.2 hingga 1.5 kali Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), margin faedah bersih (NIM) 1.90 peratus, kos kredit antara 20 hingga 30 mata asas dan pembayaran dividen yang lebih tinggi berbanding sebelumnya.- UTUSAN