Amal by Malaysia Airlines sasar perluas operasi di negara rantau

Perniagaan

PUTRAJAYA: Amal by Malaysia Airlines (Amal), cabang khusus haji dan umrah Malaysia Aviation Group (MAG) akan memperluas perkhidmatannya ke beberapa buah negara rantau.

Ketua Pegawai Operasinya, Muhammad Najmi Mansor berkata, pihaknya merancang untuk memperluas operasi sewa khas pesawat itu ke Indonesia, Filipina, Brunei dan Singapura.

Beliau berkata, selain memperkukuhkan operasi di Malaysia, pihaknya ada rancangan untuk memperluaskan operasi di luar negara terutama di negara jiran.

“Aspirasi kami pertama adalah mahu mengembangkan pasaran di Malaysia dan kedua kami mahu menceburi pasaran di rantau ini.

“Sebenarnya kita dah mula perluasan operasi dengan apa yang dipanggil sebagai dedicated connectivity (penerbangan sambungan) untuk Indonesia sebagai langkah awal,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani kerjasama strategik antara Amal dan 13 syarikat pengendali umrah tempatan di sini, hari ini.

Katanya, bagi musim umrah 1447H, pihaknya memperuntukkan 200,000 tempat duduk di mana 50 peratus diperuntukkan untuk 13 syarikat pengendali umrah tempatan dan bakinya untuk jemaah luar negara.

Muhammad Najmi berkata, pihaknya melihat pergerakan jemaah umrah ke Tanah Suci meningkat setiap tahun dan ia satu peluang buat Amal untuk memperluas operasi itu.

“Kita bukan hanya mahu berkembang di Malaysia tapi di rantau ini,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Najmi berkata, pada musim umrah tahun lalu, pihaknya berjaya menerbangkan 180,000 jemaah ke Tanah Suci.

“Sebelum ini, kami menjalinkan kerjasama strategik dengan 10 syarikat dan ia satu peningkatan besar berbanding hanya empat syarikat ketika mula beroperasi pada 2019.

“Kerjasama strategik ini penting bagi meningkatkan pengalaman jemaah, memastikan perjalanan lancar dan meningkatkan keyakinan jemaah terhadap perkhidmatan yang ditawarkan syarikat pengendali umrah,” katanya.

Muhammad Najmi berkata, agensi dan syarikat yang dilantik akan mendapat akses kepada peruntukan tempat duduk penerbangan yang telah disahkan di bawah Amal.

“Setiap agensi dipilih pastinya berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), mempunyai rekod perkhidmatan yang bagus dan mematuhi kriteria serta kualiti ditetapkan Amal,” katanya.

Katanya, pihaknya telah menyenaraikan 20 syarikat untuk kerjasama strategik itu namun, 13 daripadanya terpilih berdasarkan kriteria ditetapkan.

Sementara itu, Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia Travel and Tours Sdn. Bhd. (Andalusia), Ida Riswana Idris berkata, pihaknya berbangga dengan kerjasama dijalinkan itu sekali gus memberi jaminan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggannya.

Beliau berkata, selain pengalaman penerbangan yang selesa, bakal jemaah juga berpeluang menikmati pelbagai kemudahan lain disediakan Amal termasuk sajian tazkirah dan panduan umrah di dalam pesawat.- UTUSAN