Malaysia mudah benam Brunei

Sukan

KUALA LUMPUR: Skuad sepak takraw negara meneruskan misi gelaran juara ketiga dengan menewaskan Brunei 3-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan B acara berpasukan Kejohanan Piala Asia Sepaktakraw ASTAF 2025 di Stadium Titiwangsa, hari ini.

Malaysia menampilkan Noraizat Mohd Nordin (apit kanan), Haziq Hairul Nizam (tekong) dan Farhan Adam (apit kiri) sebagai regu utama berjaya memberikan mata pertama buat negara selepas meraih kemenangan mudah 15-5, 15-10 ke atas regu Brunei.

Momentum itu diteruskan oleh regu kedua negara yang dibarisi Aidil Aiman Azwawi (apit kiri), Muhammad Zulkifli Abd Razak (tekong) dan Khairul Aman Rosdi (apit kanan) mencatatkan kemenangan straight set 15-7, 15-8.

Regu ketiga negara turut mempamerkan aksi yang cemerlang apabila trio Muhammad Afifuddin Razali (apit kanan), Muhammad Zarif Merican (tekong) dan Amirul Zazwan (apit kiri) menenggelamkan pihak lawan 15-5, 15-3.

Ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun, berkata, beliau berpuas hati dengan aksi pembukaan, namun mengakui prestasi pemain masih belum mencapai tahap terbaik berikutan kekangan masa persiapan serta kombinasi pemain yang belum mantap.

“Alhamdulillah, untuk perlawanan pertama ini kita capai keputusan yang baik. Namun, dari segi prestasi pemain, masih belum berada pada tahap terbaik, mungkin dari segi kombinasi dan juga masa persiapan yang agak terhad untuk pasukan,” katanya.

Malaysia dijadualkan berdepan Jepun dalam aksi perlawanan kedua yang bakal berlangsung malam ini di Stadium Titiwangsa.

“Kita lihat prestasi semasa pasukan Jepun ketika ini bukan lawan mudah. Namun, kita harap semua pemain fokus dan kekalkan momentum kemenangan ini supaya layak ke peringkat separuh akhir.

“Bagi acara berpasukan, kita telah sekian lama tidak meraih kejayaan, jadi kita harap momentum terbaik pada edisi kali ini dapat menghadiahkan sesuatu kepada negara,” ujarnya. – UTUSAN