PETALING JAYA: Country Heights Holdings Berhad (CHHB) memaklumkan telah menamatkan perkhidmatan peguam terdahulu berkuat kuasa 5 Mei lalu berhubung kes petisyen penggulungan yang difailkan Amy Siew Pitt Wen terhadap anak syarikat milik penuhnya, Mines Waterfront Business Park Sdn. Bhd. (MWBP).
Langkah itu diambil selepas Lembaga Pengarah CHHB menimbangkan beberapa kebimbangan mengenai cara kes berkenaan dikendalikan sebelum ini.
CHHB berkata, pihaknya kekal komited terhadap prinsip ketelusan dan tadbir urus korporat yang baik, serta sedang berusaha menyelesaikan isu penggulungan secara tuntas.
“Sebagai usaha awal, Grand Wellness Hub Sdn. Bhd. (GWHSB), satu lagi anak syarikat CHHB, telah mendepositkan RM387,580 kepada Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) pada 8 Januari 2024 sewaktu MWBP di bawah pentadbiran jabatan itu.
“Kemudian, pada 6 September 2024, MDI mengesahkan pelantikan Baker Tilly Insolvency PLT. sebagai pelikuidasi baharu bagi menguruskan MWBP,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, berdasarkan e-mel daripada MDI bertarikh 11 September 2024, jumlah tuntutan hutang (POD) yang diterima ketika itu adalah sebanyak RM2.9 juta.
“Sebagai tindakan lanjut, GWHSB mendepositkan RM2.6 juta kepada peguam terdahulu sebagai dana pemegang amanah untuk pembayaran kepada pemiutang yang sah.
“Mahkamah Tinggi Shah Alam turut memberikan perintah interim pada 25 November 2024 untuk menangguhkan pelantikan pelikuidasi baharu selama 60 hari, susulan permohonan yang difailkan oleh peguam terdahulu.
“Bagaimanapun, selepas semakan dalaman dijalankan, CHHB mendapati tuntutan asal oleh Amy Siew Pitt Wen telah pun diselesaikan sepenuhnya pada 24 September 2024, manakala hampir RM1.1 juta lagi dibayar kepada pemiutang lain pada 8 November 2024.
“Namun, pengesahan rasmi berhubung transaksi itu hanya diperoleh menerusi penyata akaun yang dikemukakan peguam terdahulu pada 3 Mei 2025,” katanya.
Syarikat itu berkata, wujud kebimbangan berlakunya kemungkinan pembayaran berganda susulan penerbitan beberapa surat aku janji oleh peguam terdahulu terhadap dana pemegang amanah.
“Dalam mesyuarat yang diadakan pada 28 April 2025, peguam terdahulu memaklumkan bahawa RM817,423.52 masih berbaki dalam akaun pemegang amanah.
“Berikutan perkembangan itu, Lembaga Pengarah mengambil keputusan melantik pasukan guaman baharu yang diberi mandat untuk meneruskan rundingan dengan pihak MDI dan Baker Tilly, menguruskan semua dokumen berkaitan POD dan berusaha mengeluarkan MWBP daripada status penggulungan.
“Walaupun persetujuan penamatan telah dicapai, peguam terdahulu pada mulanya menahan baki dana dengan alasan masih wujud surat aku janji yang belum dibatalkan.
“Namun pada 13 Mei 2025, dana tersebut telah dikembalikan dengan syarat cek hanya boleh dimasukkan selepas pengesahan pembatalan surat aku janji diterima,” ujarnya.
Tambahnya, mulai 5 Mei 2025, semua urusan perundangan syarikat dan anak-anak syarikatnya hanya akan dikendalikan oleh pasukan guaman baharu.
“Kami akan terus berpegang pada prinsip ketelusan dan pematuhan undang-undang dalam menangani isu ini demi menjaga kepentingan semua pihak berkepentingan,” katanya. – UTUSAN