BNM dijangka semak semula unjuran KDNK 2025

Perniagaan

PETALING JAYA:Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan akan diumumkan dalam tempoh satu hingga dua bulan.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, unjuran baharu hanya akan dimuktamadkan selepas pihaknya memperoleh lebih kepastian mengenai dasar tarif Amerika Syarikat (AS) serta hasil rundingan perdagangan antara Malaysia dan ekonomi terbesar dunia itu.

“Unjuran baharu tidak akan diumumkan dalam masa terdekat kerana bank pusat masih menunggu data semasa serta hasil rundingan dasar yang sedang berlangsung.

“Kami memerlukan lebih banyak maklumat sebelum membuat keputusan kerana semakan secara tergesa-gesa tanpa asas yang mantap boleh menjejaskan keyakinan pasaran serta menambah ketidaktentuan dalam persekitaran ekonomi yang sudah pun mencabar,” katanya dalam sidang akhbar Prestasi Ekonomi Suku Pertama 2025 di Sasana Kijang di sini semalam.

AS sebelum ini mengenakan tarif 24 peratus ke atas Malaysia apabila Presiden Donald Trump mengumumkan langkah-langkah baharu yang meluas sebagai sebahagian daripada tindakan ‘Hari Pembebasan’ beliau.

Bagaimanapun, tarif timbal balas AS ke atas beberapa negara termasuk Malaysia telah ditangguhkan selama 90 hari, bermula 9 April hingga 8 Julai ini.

Abdul Rasheed berkata, memandangkan ketegangan perdagangan yang meningkat dan ketidaktentuan dasar global, pertumbuhan untuk 2025 dijangka lebih rendah sedikit daripada julat ramalan 4.5 hingga 5.5 peratus yang diumumkan pada Mac.

“Institusi pelbagai hala juga telah menyemak semula unjuran pertumbuhan mereka untuk Malaysia lebih rendah sedikit. Sebagai contoh, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menyemak semula ramalan mereka daripada 4.7 peratus kepada 4.1 peratus.

“Walaupun kami mempunyai pandangan dalaman, persekitaran global masih samar. Rundingan perdagangan masih diteruskan dan hasilnya kekal tidak menentu, walaupun kami telah melihat hasil yang positif, ini boleh menjejaskan prospek kami.

“Adalah penting untuk mengambil perhatian perkembangan positif sekitar rundingan perdagangan global dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan jika ini berterusan, ia akan memberi petanda baik kepada ekonomi global dan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia menghadapi halangan luar daripada kedudukan yang kukuh kerana ekonomi mencatatkan pertumbuhan yang baik sebanyak 5.1 peratus tahun lepas, kerana permintaan domestik kekal berdaya tahan disokong oleh perbelanjaan isi rumah dan aktiviti pelaburan.

“Kami menjangkakan permintaan domestik yang berdaya tahan akan berterusan. Dari segi luaran, permintaan berterusan untuk barangan elektrik dan elektronik (E&E) di samping ketibaan pelancong yang lebih tinggi juga akan mengurangkan pertumbuhan daripada kejutan buruk,” katanya.

Selain IMF, Bank Dunia juga mengurangkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 3.9 peratus, daripada 4.5 peratus sebelum ini, sejajar dengan perkembangan semasa yang turut melibatkan perang perdagangan global.- UTUSAN