Jodoh Fernandez, Selangor FC berakhir

Sukan

PETALING JAYA: Jodoh Ronnie Fernandez bersama Selangor FC berakhir selepas pemain itu mengesahkan tidak lagi bersama naib juara Liga Super 2024/2025 itu pada musim hadapan.

Pengumuman perpisahan ini dibuat oleh penyerang kelahiran Chile itu menerusi sebuah hantaran dengan ucapan terima kasih kerana sudi menerima kehadiran beliau bersama Gergasi Merah musim ini.

“Terima kasih Selangor FC kerana izinkan saya menjadi sebahagian dari kisah anda, semoga berjaya selalu,” tulis Fernandez di laman sosialnya, semalam.

Fernandez tiba di Selangor pada awal musim 2024/2025 dan telah melakukan 33 penampilan bersama The Red Giants dalam semua kejohanan selain mencetak 12 gol dan 3 bantuan jaringan.

Difahamkan, prestasi tidak menentu pemain berusia 34 tahun itu menjadi punca beliau digugurkan daripada skuad Gergasi Merah pada musim depan.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar mengumumkan dua pemain import mereka Alvin Fortes dan Noor Al-Rawabdeh akan terus kekal bersama skuad Gergasi Merah.

Walaupun terdapat perkhabaran beberapa pemain Selangor FC akan membawa haluan berbeza pada musim depan, namun dua tonggak terbabit terus diberikan kepercayaan untuk membantu pasukan meraih keputusan positif.

Selain Fernandez, beberapa pemain Selangor FC seperti Khairul Azhan Khalid, Khuzaimi Piee, Safuwan Baharudin dan Yohandry Orozco mungkin akan berhijrah ke pasukan lain pada musim depan.-UTUSAN