Sebab nak jaga dua, tiga ‘bakat baru’, sanggup buat pemilihan

Politik

KOTA BHARU: Suasana aman damai di dalam PKR bertukar menjadi porak peranda ketika ini berpunca dari pemilihan parti yang pada peringkat awalnya dipersetujui untuk ditangguhkan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) selesai.

Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, demi menjaga dua atau tiga ‘bakat baharu’, pemilihan tetap dijalankan tahun ini walaupun tempoh masa yang ada sesuai untuk mengukuhkan kerajaan Perpaduan dan parti.

Menurutnya, jika PKR kekal dengan keputusan asal tidak diadakan pemilihan, beliau yakin parti tidak akan hiruk-pikuk sebagaimana yang berlaku hari ini.

“PKR tidak menjadi damai apabila ada orang ‘cucuk’ kerana dia yakin bahawa selepas ini masuk pilihan raya akan menang besar. Betulah dia boleh rasa begitu kerana tidak pernah bersusah payah bertempur dibawah masuk pilihan raya.

“Saya tahu bakat-bakat baharu yang hendak bertanding sangat. Satu, saya sudah petik nama berkali-kali iaitu Ramanan (Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan) yang hendak bertanding jawatan Naib Presiden seolah-olah tidak sabar menunggu dua tahun lagi.

“Satu lagi Kamil (Muhammad Kamil Abdul Muin), alasannya jika tidak berlaku pemilihan kali ini, buat tahun 2027, maka umur dia sudah melebihi 35 tahun dan tidak boleh bertanding,” katanya pada Program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa (HIRUK) Kelantan dan Terengganu di sini malam tadi.

Calon Timbalan Presiden PKR itu memberitahu, kebanyakan muka-muka tua inilah yang saban tahun bertempur dan hilang jawatan dalam usaha memenangkan parti setiap kali pilihan raya berlangsung berbanding bakat-bakat baru.

Katanya, peluang menang pilihan raya ketika ini tidak perlu dipersia-siakan sebaliknya perlu terus kekal bersama rakyat.

“Prestasi baik dan rakyat mula lebih terbuka dan ada petanda bahawa kita sedang membuat kemajuan dalam kalangan pengundi Melayu. Jadi kenapa ambil risiko dengan adakan pilihan raya parti?,” ujarnya-UTUSAN