Matrix Concepts raih enam anugerah di Starproperty 2025

Perniagaan

PETALING JAYA: Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) merangkul enam anugerah berprestij pada Anugerah StarProperty 2025, termasuk Anugerah Pengiktirafan Khas Ulang Tahun ke-10 bagi pembangunan perbandaran unggulnya, Bandar Sri Sendayan.

Pengiktirafan itu merangkumi kategori dinilai juri profesional dan undian awam, mencerminkan penghormatan industri serta sokongan masyarakat.

Antara pencapaian utama termasuk Anugerah Mesra Keluarga iaitu Pembangunan Berfokus Keluarga Terbaik menerusi projek kediaman baharu, Ferra Eka Heights, di presint Eka Heights.

Pengarah Eksekutifnya, Kelvin Lee berkata, inisiatif penilaian semula sempena ulang tahun ke-10 amat bermakna kerana menilai kemajuan jangka panjang pembangunan yang pernah diiktiraf.

“Kami berbesar hati apabila Bandar Sri Sendayan dinilai semula dan sekali lagi menerima Anugerah Pengiktirafan Khas.

“Kemenangan ini milik seluruh pasukan Matrix yang sentiasa komited memberi yang terbaik,” katanya dalam kenyataan.

Matrix Concepts turut tersenarai dalam Anugerah Bintang Tersohor iaitu 10 Syarikat Tersenarai Terbaik, hasil penilaian menyeluruh terhadap kekuatan jenama, keunggulan produk dan prestasi pasaran.

“Pengiktirafan ini membuktikan asas kukuh syarikat dan ketahanan pasukan kami. Ia juga penghargaan kepada pembeli rumah, rakan niaga dan pemegang taruh atas kepercayaan berterusan.

“Matrix Concepts turut meraih tiga Anugerah Pilihan Pembaca iaitu Tokoh Berita Tahunan, Inisiatif CSR Paling Menyentuh Hati dan Pemaju Paling Digemari sebagai pengiktirafan terhadap impak projek, sumbangan komuniti dan kepercayaan pengguna,” ujarnya. – UTUSAN