SATU panggilan telefon kadangkala boleh mengubah hala tuju kehidupan seseorang.
Disebabkan satu panggilan telefon talian tetap yang diterima oleh Allahyarham Datuk Wira Mazlan Ahmad di pejabatnya di Jabatan Kerjaraya (JKR) pada awal 1970-an, beliau dipelawa menceburi sukan lumba basikal.
Dengan tujuan memohon kebenaran menggunakan jalan untuk perlumbaan lebuh raya, Allahyarham Shaharudin Jaffar yang ketika itu menjadi setiausaha Persekutuan Lumba Basikal Malaysia (PLBM), menelefon JKR, kebetulan gagang telefon diangkat oleh Mazlan, pegawai muda berusia awal 20-an.
“Saya mengajak Mazlan bantu secara sukarela, bermula sebagai penolong setiausaha Persatuan Lumba Basikal Selangor,” kata Shaharudin kepada penulis, kebetulan beberapa minggu sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir pada Mac lalu.
Bagi penulis pula, panggilan telefon daripada Mazlan tidak lama selepas Sukan SEA 1997, mengubah cara dan pendekatan penulis dalam mencari bahan serta menulis berita.

Selepas pembantu peribadinya, Hasnah Ab Latip, menyerahkan telefon kepada bosnya, Mazlan mengejutkan penulis dengan kata-kata “engkau menulis tak pakai otak”.
Artikel yang dimaksudkan berkisar kepada pemecatan Daniel St Hilaire, jurulatih jaguh pecut 100 meter(m) negara, Watson Nyambek.
Tajuk akhbar the Malay Mail ketika itu, “10.53 – you are out” (10.53 saat dan anda tersingkir), mengundang kemarahan Mazlan, yang menyandang jawatan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) ketika itu.
Ditegur dengan keras, penulis tiada pilihan lain kecuali menerima jemputan ke pejabat Mazlan untuk memahami tindakan di sebalik pemecatan itu.
Keesokannya, penulis duduk bersebelahan R. Supramaniam, atau lebih dikenali dalam arena olahraga sebagai Rasu Maniam, pengurus sukan olahraga MSN ketika itu, menghadap Mazlan di pejabatnya.
Berbekalkan statistik prestasi catatan masa Watson di bawah St Hilaire, kedua-duanya menjelaskan rasional di sebalik pemecatan jurulatih itu.
Bermula dari situ, penulis mula sedar bahawa pegawai MSN yang menguruskan pelbagai sukan prestasi tinggi, mempunyai data dan statistik lengkap bagi menilai prestasi atlet serta mengurus bajet bagi pihak persatuan.
Susulan itu, penulis menggunakan jalan singkat, daripada mencari sumber dan bahan berita di pejabat persatuan sukan kebangsaan, penulis menjadikan MSN rumah kedua.
Setiap pengurus sukan berprofil tinggi menjadi kawan penulis, maklumat yang diperolehi kemudian disahkan sama ada oleh pucuk pimpinan persatuan atau pengurusan tertinggi MSN.
Namun beberapa kali juga penulis diberi amaran dilarang memasuki premis MSN disebabkan kecenderungan menyiarkan berita yang sahih tetapi menyulitkan keadaan pemegang taruh.
Sebagai contoh, tindakan penulis menyiarkan jurulatih menembak, Irina Kotcherova, diberi kerakyatan agar terpilih untuk mewakili negara tiga bulan menjelang Sukan Komanwel 1998, menjadikan proses mendapatkan keizinan penembak itu lebih rumit.
“Kau tak faham, aku kena buat rundingan sensitif dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta beberapa proses yang perlu dipatuhi,” kata Mazlan.
Kesudahannya, Irina yang menukar namanya kepada Irina Maharani, terlepas peluang mewakili negara di KL’98 disebabkan tidak memenuhi syarat pemastautin badan induk dunia ISSF., sebaliknya Irina hanya diberi lampu hijau mewakili Malaysia pada 1999.
Penulis dikenalkan dengan Mazlan seawal 1992, apabila wartawan senior, Rosli Safar, membawa penulis ke MSN yang beribu pejabat di Tingkat 1, Stadium Negara waktu itu.
Seberang jalan pula Wisma MOM, yang turut menempatkan antara lain ibu pejabat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM).
Selaku Timbalan Ketua Pengarah MSN, bermisai tebal dan berjambang, Mazlan memiliki aura tersendiri.

Penulis sedar reputasi Mazlan disebabkan selalu membaca kolumnya yang disiarkan oleh Dunia Sukan, majalah bulanan yang disiarkan Kumpulan Utusan Malaysia pada 1970-an (selepas bersara, Mazlan menyumbang kolum untuk akhbar ini).
Jentera pentadbiran MSN ketika itu sedang rancak membuat persiapan bidaan Sukan Komanwel 1998 yang akhirnya memihak kepada Malaysia.
Mazlan bukan sahaja pemikir strategik di sebalik pelbagai dasar yang melahirkan penerjun, atlet angkat berat dan pelumba basikal trek, tetapi turut mendidik kakitangannya, pentadbir sukan luar MSN dan golongan wartawan menerusi kata-kata nasihat dan etika kerjanya.
Menurut Hasnah, bukan penulis seorang sahaja yang dimarahi Mazlan.
“Ramai juga wartawan yang kena marah tetapi selepas itu, dapat bahan berita,” kata Hasnah, yang menyifatkan Mazlan sebagai ketua jabatan yang komited.
“Beliau tegas dan berdedikasi dalam semua urusan, bahkan digeruni oleh orang bawahannya.”
Disebabkan jentera MSN melipatganda persediaan ke Sukan Komanwel, penulis sering mendapat berita di agensi kerajaan itu yang berpindah ke Bukit Jalil pada 1996. Dari situ, penulis melihat etika kerja kakitangan MSN yang mengutamakan keberhasilan disebabkan pelaburan besar Kerajaan Persekutuan.
Penulis juga kerap mengambil kesempatan mencedok idea dan bahan berita daripada Mazlan dengan mengikutnya bersolat Jumaat di Masjid Sri Petaling, kebiasaannya menumpang kenderaan Abdul Rashid Yaakub, yang akhirnya menjadi Ketua Pengarah MSN dari 2023 hingga April 2025.
Jasa Mazlan dalam membangunkan sukan-sukan yang kurang popular tidak ternilai dengan wang ringgit.
Selain bekerjasama dengan KDN untuk mengalakkan anggota tentera dan polis berjinak dengan acara menembak ISSF, Mazlan menubuhkan pusat latihan untuk gimnastik, angkat berat, terjun dan lumba basikal yang akhirnya melahirkan nama-nama besar seperti Datuk Pandelela Rinong, Datuk Azizulhasni Awang, Amirul Hamizan Ibrahim dan Ng Shu Wai.
“Saya mengenali Mazlan dari zaman mudanya. Sebagai Setiausaha Jawatankuasa Kemudahan Teknikal, Venue dan Pertandingan, saya bekerjasama secara langsung dengan Mazlan untuk penganjuran acara lumba basikal untuk Sukan SEAP 1971 dan Sukan SEA 1977,” kata bekas Setiausaha Agung Majlis Sukan Sekolah-sekolah Selangor, Datuk A. Vaithilingam.
“Beliau berjiwa sukan, jujur dan berwawasan.”
Bekas pegawai MSN, Zubir Ahmad, membantu Mazlan mewujudkan tiga kelompok pelumba berbasikal trek – elit, pelapis dan bakat bermula 1986.
“Mazlan pandai mengenal pasti kekuatan individu. Daripada menjadi kakitangan pentadbiran sebuah syarikat swasta, saya dipinjamkan kepada MSN secara kontrak untuk menganalisis data dan mengumpul statistik bagi membantu menilai kemajuan atlet,” kata Zubir.
Apabila Malaysia memenangi hak penganjuran Sukan Komanwel, Mazlan menaruh kepercayaan kepada bekas pelumba negara ke Sukan Olimpik Munich 1972, Fazin Saad, atau dikenali sebagai A.S. Fadzil, menggerakkan program mengenal pasti bakat seluruh negara yang akhirnya mencungkil Azizulhasni.
Sudah lebih sebulan Mazlan meninggalkan kita, apabila menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 75 tahun akibat komplikasi angin ahmar, namun sumbangannya selaku seorang strategis pembangunan sukanakan kekal dalam tinta sejarah sukan negara.-UTUSAN