DAP hormat pilihan ahli PKR, terus jalin kerjasama kepimpinan baharu

Politik

KULAI: DAP akan terus menjalin kerjasama erat dengan kepemimpinan PKR yang bakal diterajui nama-nama baharu khususnya selepas Kongres Nasional PKR yang akan berlangsung di Johor Bahru, hujung bulan ini.

Naib Pengerusi DAP, Teo Nie Ching berkata, pihaknya akan menghormati sebarang keputusan dibuat ahli-ahli akar umbi PKR demi kestabilan dan kemakmuran negara pada masa depan.

“Mesti sedia kerjasama sekiranya ada barisan kepemimpinan baharu dalam PKR. Itu tiada masalah kerana ia merupakan keputusan dan pilihan yang dibuat ahli-ahli PKR sendiri.

“Gabungan Pakatan Harapan (PH) diwujudkan bersama-sama parti komponen adalah untuk memajukan negara dan caranya adalah melalui kerjasama erat semua pihak, itu yang hendak dicapai PH bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Nadi Aspirasi Nasional Bersama Anak Muda (Nanba) di Dewan Serbaguna Taman Mewah, di sini hari ini. Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti, Suwadi Guliling.

Nie Ching yang juga Timbalan Menteri Komunikasi turut yakin Kongres Nasional PKR bakal berlangsung dalam keadaan lancar dan teratur walaupun timbul beberapa isu sebelum ini.

“Beberapa isu timbul semasa pemilihan parti politik itu biasa, tiada masalah kerana semua parti hadapi perkara sama. Namun saya yakin ia akan berlangsung dengan lancar,” jelasnya.

Terdahulu di Johor Bahru, Nie Ching ketika mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berkata, PH Johor terbuka mengadakan sebarang perbincangan kerjasama politik bagi menghadapi PRN negeri itu.

Katanya, setakat ini pihaknya masih belum mendapat maklumat lanjut mengenai tarikh PRN Johor diadakan.

“Bagi PRN Johor, kami (PH Johor) masih tidak pasti bila ia akan diadakan. Namun, kami terbuka untuk pelbagai perbincangan diadakan (bagi berhadapan PRN),” katanya. – UTUSAN