KUALA LUMPUR: Tekong utama negara, Syahir Rosdi mengakui masih ada aspek yang perlu diperbaiki biarpun regu negara merangkul kejuaraan di Piala Asia Sepaktakraw Astaf 2025, kelmarin.
Malaysia muncul juara selepas skuad yang dianggotai Syahir, Azlan Alias (apit kanan) dan Farhan Adam apit kiri) berjaya menumpas musuh tradisi, Thailand secara straight set 15-12, 15-9 di Stadium Titiwangsa.
Menurut Syahir, biarpun pasukan tampil sebagai antara pilihan, beliau sendiri tidak menjangkakan kemenangan mudah terhadap Thailand yang terkenal dengan reputasi tinggi dalam arena sepak takraw.
“Alhamdulillah, kami berjaya tewaskan Thailand 2-0, tapi terus terang saya sendiri tidak sangka kami mampu capai kemenangan seawal itu. Saya, Azlan dan Farhan Adam pun macam tak percaya boleh main dengan baik di final.
“Thailand bukan calang-calang pasukan. Mereka banyak kali juara dunia. Jadi untuk kami menang straight set malam ini (kelmarin), memang satu pencapaian luar jangka.
“Bagaimanapun bola pertama dan servis masih ada kekurangan. Jadi dalam regu berpasukan, kami akan manfaatkan masa yang ada untuk baiki kekurangan itu. Harap dapat kekalkan momentum ini” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Kejayaan Malaysia menjulang gelaran regu ini merupakan kali kedua berturut-turut selepas mencatatkan kejayaan sama dalam Piala Dunia tahun lalu, namun Syahir tetap merasakan corak permainan kali ini sedikit perlahan berbanding edisi lalu.
“Kalau nak dibandingkan dengan Piala Dunia tahun lepas, momentum kami waktu itu lebih konsisten. Tahun ini kami mula perlahan, tapi syukur dapat kembali bangkit di separuh akhir dan final,” tambahnya.-UTUSAN