Tangguh, laksana Pemilihan PKR keputusan kepemimpinan

Politik

SHAH ALAM: Keputusan sama ada Pemilihan PKR ditangguhkan atau tidak adalah di bawah bidang kuasa kepemimpinan Pusat partti itu.

Calon Naib Presiden PKR, Datuk Seri R. Ramanan berkata, keputusan berkenaan bukan di bawah keputusan seseorang individu, sebaliknya dibuat secara konsensus menerusi Majlis Pimpinan Pusat (MPP). 

“Dalam parti ini ada satu juta ahli, dan parti ini ada pemimpin-pemimpin Pusat, semua keputusan diambil daripada mesyuarat kepimpinan pusat.

“Adakah saya seorang ahli buat keputusan sesuka hati saya? semua dibuat melalui Majlis Pimpinan Pusat, bukan saya seorang,” katanya selepas merasmikan Seminar Asas Keusahawanan Tekun Nasional di sini, semalam. 

Semalam semasa Program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa (HIRUK) Kelantan dan Terengganu di Kota Bharu, Kelantan, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa bahawa Biro Politik parti itu pada asalnya telah bersetuju untuk tidak mengadakan Pemilihan PKR pada tahun ini.

Menurut calon Timbalan Presiden PKR itu,, keputusan itu dibuat berdasarkan pengalaman lalu dan bimbang pemilihan parti mencetuskan persaingan sengit bagi jawatan tertinggi sehingga menimbulkan kekacauan.

Dakwanya, keputusan mengadakan pemilihan parti selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) dibatalkan atas alasan pemilihan parti perlu diadakan untuk membawa masuk ‘bakat baharu’ seperti Ramanan dan Muhammad Kamil Abdul Munim.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Ramanan mempersoalkan tindakan Rafizi yang menghentam dirinya sedangkan beliau hanya bertanding untuk jawatan Naib Presiden. 

“Kenapa dia (Rafizi) terpaku sangat dengan saya, saya ini sudah jadi macam kekasih yang telah lari. Saya ini bertanding Naib Presiden, bukan Timbalan Presiden,” ujarnya. 

Dalam pada itu, Muhammad Kamil ketika dihubungi Utusan Malaysia turut menyifatkan dakwaan Rafizi sebagai tidak bertanggungjawab. 

“Tohmahan yang dilemparkan kepada saya adalah tidak berasas dan tidak bertanggungjawab. Parti ini lebih besar daripada mana-mana individu atau anggota,” ujarnya. – UTUSAN