KUALA LUMPUR: Malaysia muncul juara Kumpulan B acara berpasukan Piala Asia Sepak Takraw ASTAF 2025 apabila menewaskan Korea Selatan 3-0 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan, sebentar tadi.
Dalam aksi di Stadium Titiwangsa itu, Malaysia mempertaruhkan Haziq Hairul Nizam (tekong), Noraizat Nordin (apit kanan) dan Farhan Adam (apit kiri) sebagai regu pertama tidak berdepan masalah untuk menang 15-6, 15-9.
Regu kedua yang menampilkan trio Syahir Rosdi (tekong), Azlan Alias (apit kanan) dan Amirul Zazwan Amir (apit kiri) menyumbangkan mata kedua negara apabila cemerlang dengan kemenangan straight set 15-6, 15-11.
Korea Selatan ternyata bukan lawan Malaysia apabila regu yang diberikan gelaran ‘Naga Pantai Timur’ iaitu Zulkefli Razak (tekong), Afifuddin Razali (apit kanan) dan Aidil Aiman Azwawi (apit kiri) menang dalam aksi ketiga 15-8, 15-7.
Kemenangan tersebut menyaksikan Malaysia muncul juara Kumpulan B dan dijangka berdepan India pagi esok dalam aksi separuh akhir, manakala Korea Selatan akan berdepan Thailand dalam satu lagi aksi separuh akhir.
India dan Thailand akan berentap malam ini bagi menentukan juara Kumpulan A, namun skuad Gajah Perang pastinya tidak berdepan masalah untuk mengekalkan rekod kemenangan di peringkat kumpulan.
Sekiranya menang ke atas India, atas kertas, Malaysia dijangka berdepan Thailand pada aksi final yang dijadualkan berlangsung pada pukul 4 petang dengan misi menamatkan kemarau kejuaraan selama 34 tahun dalam acara berpasukan.
Kali terakhir skuad negara mengatasi Thailand dalam acara berpasukan ialah pada Sukan Sea Manila edisi 1991.- UTUSAN