SHAH ALAM: Pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi sesi 2025 – 2028 dijangka mampu mengulangi kejayaan parti pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU).
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Seri R. Ramanan berkata, peranan Nurul Izzah ketika itu sebagai pengarah pilihan raya berjaya membawa parti meraih 50 kerusi.
“Saudari Nurul Izzah sebagai pengarah pilihan raya menangkan 50 kerusi. Kita kena bawa dia (kembalikan) sebagai ‘panglima perang’ untuk Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) untuk mencapai kejayaan sama.
“Menang 50, tetapi ada kemungkinan boleh menang 60, 70 atau hingga 80 kerusi. Adakah itu salah. Apa yang saya katakan itu harapan kita ini harapan (Pakatan Harapan). Saya bukan ‘raja formula’, saya tak ada formula, saya ada fakta sahaja,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Selain itu, beliau bersetuju pandangan tiada keperluan debat dalam kalangan pemimpin khususnya melibatkan pencalonan Timbalan Presiden antara Nurul Izzah dan penyandang, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli.
“Kalau ini pilihan raya (PRU) memanglah kita kena tahu kredibiliti, prestasi, kehebatan, ideologi dan kebaikan lain yang boleh dibawa. Tetapi, ini pemilihan parti, kita semua satu keluarga. Takkan kita tak tahu apa yang keluarga tawarkan?
“Saudari Nurul Izzah, kita tak tahu (ke) siapa calon yang bertanding dalam pemilihan parti? (Kalau tak) Memanglah kita kena wujudkan satu perdebatan, tetapi kita semua sudah kenal dan mereka pernah diuji, perjalanan politik meereka menceritakan sendiri tentang diri mereka,” jelasnya. – UTUSAN