FAM sekat penyertaan pasukan gagal lunas tunggakan gaji

Sukan

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menyekat penyertaan mana-mana pasukan futsal di dalam Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) akan datang, sekiranya gagal melunaskan tunggakan gaji pemain.

Naib Presidennya, Datuk Seri Rosmadi Ismail berkata, saingan MPFL turut terpalit dengan isu tunggakan gaji pemain melibatkan semua pasukan bertanding tetapi tidak merangkumi peratus yang besar.

“Saya difahamkan oleh urusetia FAM bahawa kesemua pasukan telah berjaya menyelesaikan masalah berkenaan dan saya nasihatkan supaya semua pasukan berbelanja mengikut kemampuan.

“Kalau boleh utamakan pemain-pemain bersesuaian dengan bajet tahunan yang disediakan oleh pihak pengurusan pasukan masing-masing,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Memperkenalkan Pemain dan Perasmian Jersi Pasukan Futsal Kelantan (Kelantan FT), di sini hari ini.

Beliau berkata, FAM tidak mempunyai pemantauan khusus berkaitan keupayaan sesebuah pasukan futsal membayar gaji pemain tetapi memperoleh maklumat mengenai masalah kewangan pasukan apabila terdapat laporan atau aduan daripada pemain.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Kelantan FT kerana dapat menghantar sebuah pasukan untuk memeriahkan MPFL Divisyen 2 (MPFL 2) yang akan membuka tirai di Kuala Lumpur, pada Sabtu ini. – UTUSAN