PETALING JAYA: Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M. Thinaah menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka Thailand selepas membenam lawan masing-masing pada perlawanan akhir di Stadium Nimibutr, Bangkok, Thailand, hari ini.

Beregu lelaki, Aaron-Wooi Yik yang menghuni ranking No. 5 dunia mengetepikan gandingan ke-75 dunia dari Denmark, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer dalam pertarungan sengit yang berlanjutan sehingga ke rubber set 20-22, 21-17, 21-12 dalam masa sejam.
Kejayaan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan kedua merangkul gelaran sulung buat Malaysia dalam tempoh 16 tahun selepas Chan Peng Soon-Lim Khim Wah berbuat demikian pada 2009.
Kemenangan gandingan negara itu juga menyaksikan Aaron-Wooi Yik melebarkan rekod kemenangan 2-0 ke atas beregu muda Denmark tersebut.
Sementara itu, Pearly-Thinaah pula melakar sejarah apabila muncul beregu wanita pertama Malaysia menjuarai Terbuka Thailand selepas menewaskan pasangan Korea Selatan, Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo 21-16, 21-17 dalam masa 58 minit.
Kejayaan ke atas Na Eun-Yeon Woo, membolehkan Pearly-Thinaah melebarkan rekod pertemuan kepada 2-0.
Sejak diperkenalkan pada 1984, akhirnya ada wakil negara dalam sektor beregu wanita menjuarai Terbuka Thailand yang merupakan edisi ke-37.
Baik Aaron-Wooi Yik mahupun Pearly-Thinaah, mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$37,525 (RM161,132), pingat emas dan trofi. – UTUSAN