BUKIT MERTAJAM : Calon Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar kekal dengan pendirian untuk tidak akan berdebat dengan lawannya iaitu Datuk Seri Rafizi Ramli menjelang pemilihan parti itu minggu depan.
Sebaliknya, Ketua Cabang PKR Permatang Pauh itu berkata, beliau mahu menyantuni seramai mungkin perwakilan dan menggarap semangat tersebut daripada mereka.
“Jadi, biarlah saya fokus (menyantuni) para perwakilan dan cabang-cabang. Insya-Allah. Lagi berapa hari (pemilihan)? Lima hari. Tak lama dah,” katanya.
Nurul Izzah yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Pulau Pinang berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri program Temu Rapat Akar Umbi Zon Utara di sini, malam tadi.
Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir sebelum ini mahu Nurul Izzah mempertimbangkan semula pelawaan Rafizi untuk berdebat walaupun Puteri Reformasi itu pernah menolak pelawaan yang sama.
Kata Akmal Nasrullah, debat adalah budaya parti itu bagi mencambahkan lagi pemahaman setiap pihak terhadap sesuatu perkara.
Dalam pada itu, Nurul Izzah berkata, tidak ramai yang mengingati bahawa beliau pernah bertentangan pendapat dengan bapanya iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga pernah dicop sebagai ‘pemberontak’ dalam PKR.
“Ya, tiada siapa yang ingat akan perkara ini. Saya juga pernah ‘diserang’ beberapa kali oleh ‘team’ beliau (penyokong Anwar). Jadi, Saya cuba sehabis baik (untuk parti).
“Oleh itu, hakimilah saya berdasarkan sejarah (perjuangan) saya dan ‘track record’ (rekod pencapaian) saya dalam parti,” katanya yang berharap dapat memberikan sumbangan yang terbaik kepada PKR andai dipilih selepas ini.
Terdahulu, ketika berucap, Nurul Izzah mahu jentera PKR terus diperkasakan bagi mendepani cabaran yang lebih besar iaitu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) tidak lama lagi.
Katanya, ini termasuk untuk meyakinkan lebih ramai generasi muda memilih parti itu memandangkan hasil kaji selidik mendapati, kira-kira 68 peratus daripada mereka tidak meminati politik.-UTUSAN